Ramuan kehancuran gabungan pembangkang PKR

TIDAK dapat dilihat dengan jelas apakah dasar pemerintahan yang ingin diketengahkan oleh gabungan pembangkang PKR sekiranya mereka diberi mandat untuk mentadbir kerajaan Pusat.

DAP tetap berkeras ingin melaksanakan impian Malaysian Malaysia yang menafikan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera manakala perjuangan PKR diwarnai ketaksuban untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

PAN pula mendakwa mereka adalah alternatif kepada Pas bagi mewakili suara umat Islam namun pada masa sama, parti itu tidak menyokong usaha memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah.

Parti paling muda dalam gabungan itu, PPBM cuma ingin membalas dendam terhadap UMNO dan agenda bumiputera yang diperjuangkannya ternyata bertentangan dengan gagasan Malaysian Malaysia yang dibawa DAP.

Walaupun mereka bersetuju untuk bertanding menggunakan satu logo dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), gabungan pembangkang PKR sebenarnya tidak mempunyai gagasan bersama yang mantap bagi ditawarkan kepada rakyat.

Agenda politik mereka lebih didorong oleh impian cauvinis, ketaksuban terhadap pemimpin dan memarakkan api kebencian terhadap Barisan Nasional (BN).

Semua faktor tersebut apabila diadunkan berupaya membentuk satu ramuan yang akan membawa kehancuran kepada negara dan rakyat.

Malapetaka itu boleh dielakkan dengan mengekalkan mandat kepada BN yang terbukti mempunyai persefahaman yang tinggi dalam kalangan parti-parti komponennya sekali gus menyumbang kepada kejayaannya dalam memelihara keamanan negara dan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.