POLITIK TUN M KIAN MELALUT

KALAU setakat mengkritik dasar-dasar kerajaan BN tidak mengapa
KALAU setakat mengkritik dasar-dasar kerajaan BN tidak mengapa kerana Dr. Mahathir Mohamad kini berada dalam Pakatan Harapan diketuai DAP, tetapi janganlah membuat kenyataan politik yang menghina rakyat. UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ
KETIKA menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad di­sanjung dan dihormati sebagai seorang pemimpin yang sentiasa berhati-hati apabila ber­kata-kata dan sentiasa teliti dalam tindakan.

Pelbagai pihak sama ada da­lam mahupun luar negara amat me­­ngagumi beliau, malah musuh-musuh politik ketika beliau berkuasa juga tidak mampu me­num­bangkannya, tetapi kini Dr. Ma­hathir sudah berubah watak.

Daripada seorang bertaraf negarawan, Dr. Mahathir yang mencecah usia 93 tahun semakin tidak keruan dalam berkata-kata dan tindakan politiknya. Langkah keluar masuk UMNO dan kemudiannya bagaikan ‘bercerai talak tiga’ dengan parti yang cukup banyak berjasa dalam karier politiknya apabila menubuhkan PPBM menyebabkan beliau semakin ‘melalut.’

Dr. Mahathir sudah tidak lagi berhati-hati dalam berkata-kata mahupun teliti dalam tindakan. Dendam politik yang membuak-buak dalam dirinya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebabkan beliau bagaikan hilang pertimbangan.

Sememangnya hak Dr. Mahathir dalam usia 93 tahun untuk terus berpolitik walaupun mungkin dalam kalangan ahli politik sedia ada belum tentu dapat mencapai usia sedemikian, tetapi janganlah ‘melalut sangat’ sehingga perasaan hormat terhadap ketokohan beliau bertukar menjadi kebencian.

Apa yang mengecewakan, ka­lau setakat mengkritik dasar-da­sar kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengapa kerana Dr. Mahathir kini berada dalam Pakatan Harapan diketuai DAP, tetapi janganlah membuat kenyataan politik yang menghina rakyat.

Tidak cukup lagikah dengan menyamakan bantuan kepada rak­­yat seperti BR1M sama taraf dengan makanan haiwan apabila menyifatkan ia sebagai dedak dan menjatuhkan hukum jemaah yang menunaikan ibadat haji dengan menggunakan wang 1MDB tidak akan mendapat haji mabrur.

Tidak cukup lagikah ‘mengumpul dosa’ apabila menyatakan Najib tidak menyembah Tuhan tetapi menyembah cash? Tidak puaskah lagi melemparkan tuduhan bahawa kerajaan akan me­nipu dalam PRU-14 melalui undi pos? Seronok sangatkah mahu melihat UMNO tumbang?

Kenapa perlu meneruskan ke­­celuparan dengan menghina rak­yat Sabah dan Sarawak pula de­ngan menyatakan mereka pemalas dan mempunyai mentaliti rendah? Kenapa bersekongkol de­ngan pemikiran jumud sekutu dalam Pakatan Harapan mahu mem­batalkan projek mega yang bertujuan membangunkan ekonomi orang Melayu di Pantai Timur?

Hakikatnya terlalu banyak per­buatan Dr. Mahathir yang me­nunjukkan beliau sudah kehila­ngan arah dalam berpolitik, tetapi malangnya ketentuan sikap dan tindakan beliau itu tidak semena-mena mengheret rakyat.

Dr. Mahathir sanggup menghina mereka apabila menerima bantuan rakyat. Dr. Mahathir sanggup memperlekehkan mereka kerana terus setia bersama BN dan Dr. Mahathir sanggup bercita-cita menghalang projek yang jika dilaksa­nakan bo­leh memberikan manfaat kepada bangsanya sendiri.

Kalau demi menjaga hati dan membalas budi DAP kerana menyokong pencalonan beliau sebagai Perdana Menteri dengan tidak lagi menentang konsep Malaysian Malaysia, silakan sahaja, itu hak beliau tetapi janganlah melakukan tindakan yang mengundang petaka kepada rakyat khususnya orang Melayu.

Sepatutnya dalam usia sedemikian dan amat berpengalaman dalam berpolitik, Dr. Mahathir tidak mudah ‘melalut’ ketika berkata-kata dan bercelaru dalam tindakan. Namun malangnya, Dr. Mahathir bagaikan ‘seorang tua di kaki gunung’ yang cukup beremosi dalam menjalani sisa-sisa kehidupannya.

Tetapi Dr. Mahathir bukannya ‘seorang tua di kaki gunung’, sebaliknya beliau seorang bekas Perdana Menteri yang anak-anaknya bertaraf bilionair dan seorang yang dipotret cukup cinta kepada bangsanya melalui puisi-puisinya yang akhirnya dianggap hanyalah satu sandiwara.

Sudah pasti kita tidak mampu menghalang Dr. Mahathir untuk tidak terus ‘melalut’. Siapalah kita untuk menasihatkan seseorang yang bertaraf negarawan, te­tapi sebagai rakyat Malaysia dan orang Melayu, kita berhak menolak politik ‘melalut’ beliau, apatah lagi Dr. Mahatir bersekongkol dengan bekas musuh-musuh politiknya yang sekadar menerima beliau sebagai alat bagi meraih sokongan orang Melayu.

Penulis percaya semakin ramai yang sedar Dr. Mahathir bukanlah lagi tokoh dikagumi seperti mana ketika beliau menjadi Perdana Menteri sehingga dianggap ‘Bapa Pemodenan’, sebaliknya beliau kini menjadi ‘Bapa Pembangkang’ .

Sesungguhnya penulis bersim­pati dengan Dr. Mahathir. Ini ke­­rana dalam keadaan tubuh se­makin dimamah usia, beliau ma­hu terus menimbus segala kebai­kan dan jasanya yang pernah ditabur kepada negara dan ba­ngsanya melalui tindakan politik yang dianggap sudah melampaui batas.

Kalau dikaji kenyataan dan tindakan beliau, sementara beliau begitu seronok bersahabat dengan DAP, PKR dan PAN, pihak-pihak lain termasuk rakyat yang dibantu oleh kerajaan tidak akan terlepas daripada serangan kecamannya.

Semua itu berlaku hanya dise­babkan Dr. Mahathir sudah dikuasai nafsu amarah politik yang keterlaluan terhadap Perdana Menteri, sebab itulah sesiapa sahaja yang bersama kerajaan akan menjadi sasaran kenyataan ‘me­la­lut’ beliau.

Kita tidak pasti bilakah Dr. Mahathir akan insaf dan sedar bahawa apa yang sedang beliau lakukan adalah tidak betul. Tetapi apa yang pasti Dr. Mahathir sudah terpengaruh dengan politik Pakatan Harapan sehingga beliau dilihat begitu mudah mengikut ­rentak politik tidak matang kelompok tersebut yang semakin kemaruk kuasa.

Percayalah, kecelaruan tindakan dan fikiran politik Dr. Mahathir akan berterusan sepanjang PRU-14 berlangsung. Ramai sudah menjangkakan lebih banyak kenyataan kontroversi akan dilontarkan kerana bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai modal lain memandangkan beliau sendiri telah menyatakan janji-janji pilihan raya Pakatan Harapan sukar dilaksanakan. Inilah bahananya apabila dendam politik menguasai diri.

Zulkiflee Bakar
Utusan

One thought on “POLITIK TUN M KIAN MELALUT

  • April 9, 2018 at 5:34 PM
    Permalink

    kesiannnn…apakah ini tandanya Allah s.w.t tidak menyenaraikan namanya sebagai penghuni syurga…?????semakin senja, semakin galak mengejar dunia…
    wallahu a’lam ..

    Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.