PM nyatakan iltizam terus bantu Kedah tingkat ekonomi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan iltizam kerajaan pusat untuk terus membantu Kedah agar tidak tercicir dalam arus pembangunan negara yang semakin pesat.

Beliau berkata Kedah sewajarnya mendapat bantuan kerajaan Persekutuan untuk terus berkembang memandangkan negeri itu mempunyai hasil yang terhad dengan hanya bergantung kepada sektor pertanian.

“Kalau (terus) bagi mandat kepada kita (Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14) kita akan terus membantu negeri Kedah.

“Macam-macam projek lain lagi kita akan bagi termasuk untuk meningkat ekonomi negeri seperti Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam, naik taraf lapangan terbang di Alor Setar termasuk penambahan loji air,” katanya ketika berucap melancarkan Projek Pembinaan Hospital Pendang dan Majlis Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Perdana menteri berkata ia turut disokong dengan kemampuan ekonomi negara kini yang semakin mengukuh.

“Dijangkakan pada tahun ini ekonomi negara akan berkembang lagi sejajar dengan pengiktirafan badan antarabangsa seperti Bank Dunia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan Persekutuan terus komited melaksanakan pembangunan secara inklusif supaya tiada mana-mana pihak tercicir dalam arus pembangunan itu.

“Inilah politik BN untuk menolong dan membantu rakyat dan bukannya politik pembangkang yang mai (datang) sekali-sekala (untuk membantu rakyat),” katanya.

Berhubung Hospital Pendang, Najib berkata projek pembinaan hospital itu akan bermula pada 7 Mei ini dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM210 juta. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.