Percakaran akar umbi Gabungan Pembangkang PKR hanya menunggu masa meletup

PEREBUTAN kerusi antara parti-parti gabungan pembangkang PKR adalah episod yang hanya menunggu masa untuk meletup. Meskipun cuba ditutup di permukaan, pergolakannya di peringkat akar umbi sudah menjadi sukar disembunyikan.

Kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Paya Jaras yang menjadi ‘pertembungan’ antara PKR dan PAN di Selangor adalah permulaan untuk lebih banyak persengketaan antara setiap parti gabungan itu yang hanya berminat mempertahankan kepentingan peribadi masing-masing.

Pada hasratnya, penggunaan satu logo iaitu PKR dilihat oleh kepemimpinan gabungan itu sebagai langkah penyeragaman namun sejauh mana strategi itu benar-benar dapat diterima oleh akar umbi parti masing-masing.

Sebelum ini pun, telah begitu banyak rasa tidak puas hati diluahkan oleh peringkat akar umbi gabungan itu antaranya di Negeri Sembilan, Perak, Kedah serta Kelantan terhadap pembahagian kerusi yang disifatkan tidak adil dan melindungi kepentingan individu.

Dalam hal ini, PAN yang merupakan serpihan Pas dan PPBM yang merupakan serpihan UMNO dilihat sebagai paling berisiko keciciran kerana masing-masing hendak meletakkan diri mereka bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Begitupun, ibarat perumpamaan ‘Yang dikendong berciciran, yang dikejar tidak dapat’, begitulah nasib yang bakal dihadapi pemimpin-pemimpin PAN dan PPBM, lebih-lebih lagi dengan hanya logo PKR digunakan semua pihak.

Usah dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin peringkat nasional yang tempat mereka semua sudah dijamin menerusi pakatan sesama mereka tetapi lihatlah kepada pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi yang nasib mereka akan diperkotak-katikkan.

Tidak menghairankan sekiranya episod di Paya Jaras akan ‘berjangkit’ di tempat-tempat lain ekoran pertembungan antara PKR, PAN dan PPBM, malah pertembungan antara PKR dengan DAP juga adalah tidak mustahil berlaku bagi kawasan pengundi majoriti Cina.

Jangan kata mengenai tubuh kerajaan, belum sempat pilihan raya pun, Gabungan pembangkang PKR akan bergaduh dan berantakan sesama mereka kerana kuasa dikejar adalah demi diri masing-masing. – UTUSAN ONLINE

One thought on “Percakaran akar umbi Gabungan Pembangkang PKR hanya menunggu masa meletup

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.