PENGUNDI INDIA YAKIN JANJI BN

SOKONGAN hebat pengundi India kepada BN kali ini dijangka menenggelamkan parti-parti serpihan UMNO dalam medan politik Malaysia.

PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dilihat amat penting bukan sahaja bagi UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN), malah MIC. Keutuhan dan kewibawaan kepemimpinan baharu MIC dan perpaduan dalam kalangan ahli MIC dijangka terbayang menerusi prestasi parti itu pada PRU-14 kerana ia adalah pilihan raya umum pertama berlangsung di bawah kepemimpinan Datuk Dr. S. Subramaniam yang mengambil alih kepemimpinan parti pada 2015.

Dalam pada itu, landskap politik PRU-14 berbeza dengan landskap politik sebelumnya, khususnya PRU-13 kerana wujud gabungan pembangkang PKR terdiri daripada DAP, PKR dan PPBM di bawah kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad. PRU-14 juga akan menyaksikan Pas bertan­ding bersendirian, tidak bersama gabungan pembangkang.

Memandangkan jumlah kerusi yang dimenangi adalah faktor amat penting dan genting pada kali ini dalam menentukan survival BN, maka parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan di Semenanjung diharap menyumbang kepada kemena­ngan BN. Sehubungan itu, apakah kepemimpinan baharu MIC mampu deliver kerusi yang diperlukan dan diharapkan oleh kepemimpinan BN dalam memastikan kemenangan BN pada PRU-14?

Umumnya, MIC diperuntukkan sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Walaupun pengundi India tidak membentuk majoriti di mana-mana kawasan Parlimen di Semenanjung, namun undi mereka boleh membantu BN merampas dan mengekalkan kerusi-kerusi Parlimen yang menang dengan undi jumlah kecil atau marginal beberapa kerusi Parlimen.

Misalnya, Parlimen Kulim-Bandar Ba­ru (1,871 undi), Balik Pulau (1,539), Bagan Serai (1,140) Kuala Kangsar (1,082) Cameron Highlands (462) Kuala Selangor (460) Setiawangsa (1,390) Segamat (1,217) dan Pasir Gudang (935). Malah, pengundi India boleh menjadi ‘pengimbang’ undi antara BN dan pembangkang dalam menentukan kemenangan BN di 60 kawasan Parlimen kerana statistik mengenai jumlah pengundi menunjukkan bahawa 60 kerusi Parlimen di Semenanjung mempunyai komposisi pengundi India lebih daripada 10 peratus.

Pada PRU-13, calon MIC menang empat kerusi Parlimen yang bertanding iaitu Se­ga­mat, Hulu Sela­ngor, Cameron Highlands dan Tapah te­tapi kalah lima kerusi yang diperuntukkan buat parti itu.

Namun, dua kerusi tradisi Parlimen MIC iaitu Subang dan Telok Kemang yang berturut-turut kalah pada PRU-12 dan 13, didapati te­lah diubah nama dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya baru-baru ini. Malah proses persempadanan semula turut mengubah komposisi kaum pengundi dalam kedua-dua kawasan Parlimen tersebut. Perubahan itu dijangka membantu MIC menawan semula kedua-dua kerusi tersebut.

Pada masa sama, peluang bagi calon MIC memenangi Parlimen Sungai Buloh (nama baharu Parlimen Subang) yang merangkumi DUN Kinrara dan Subang Jaya dan Parlimen Port Dickson (Telok Kemang) yang merangkumi DUN Seremban Jaya (Senawang) dan Sri Tanjung (Port Dickson) adalah lebih cerah kerana kekuatan UMNO di DUN-DUN tersebut dijangka menyumbang kepada kemenangan calon MIC.

Selain daripada kedua-dua kerusi tersebut, tujuh kerusi Parlimen lain yang diperuntukkan kepada MIC didapati tidak terlibat dalam persempadanan semula malah tidak mengalami banyak perubahan dalam komposisi kaum dan jumlah pengundi. Dengan itu, kemenangan calon MIC di kawasan tersebut banyak bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan kempen oleh jentera pilihan raya MIC di akar umbi.

Tinjauan secara sepintas lalu menunjukkan MIC lebih agresif menganjurkan majlis-majlis Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC), sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan khas di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membantu memperkasakan sosioekonomi kaum India, terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

Program berbentuk strate­gis dan tersusun untuk meraih sokongan pengundi India terhadap MIC, sekali gus BN itu didapati amat berkurangan kecuali beberapa pemimpin MIC yang dikenal pasti sebagai bakal calon PRU-14 menjalankan kempen di kawasan masing-masing.

Begitupun, pengundi India kelihatan lebih cenderung memihak kepada BN kerana Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri terbukti berlaku adil malah banyak membantu memperkasakan sosioekonomi kaum India sejak beliau mengambil alih pucuk kepemimpinan kerajaan pada 2009 berbanding Dr. Mahathir yang menerajui kerajaan selama 22 tahun.

Apapun, sokongan hebat pengundi India kepada BN kali ini dijangka menenggelamkan parti-parti serpihan UMNO dalam me­dan politik Malaysia pada Rabu 9 Mei iaitu hari berlangsungnya PRU-14.

M. Periasamy
DATUK M. PERIASAMY ialah Penganalisis Politik dan juga Felo Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Utusan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.