Najib lawat wad bersalin HKL (video)

Datuk Seri Najib Razak hari ini melakukan lawatan mengejut ke wad bersalin Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta meninjau projek pembangunan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur.

Perdana Menteri yang diiringi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, melawat wad bersalin dan meninjau projek pembangunan hospital baharu itu bagi melihat sendiri keadaan di kedua-dua bangunan berkenaan.

Najib yang tiba jam 4 petang, meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan kakitangan dan pesakit wad bersalin serta diberi penerangan oleh Pengarah HKL, Datin Dr Nor Akma Yusuf.

NAJIB beramah mesra bersama kakitangan hospital ketika membuat tinjauan projek Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur. – Foto Syarafiq Abd Samad
Orang ramai dan pesakit di wad itu dilihat teruja dan tidak melepaskan peluang bergambar dengan pemimpin nombor satu negara itu.

Najib kemudian meninjau projek pembangunan Hospital Wanita serta Kanak-kanak Kuala Lumpur di HKL yang dibina dengan kos RM848 juta.

Projek pembinaan bangunan lapan tingkat menggunakan seni bina teknologi hijau itu yang akan menggabungkan Institut Pediatrik dan Hospital Bersalin HKL sedia ada di bawah satu bumbung, kini 99 peratus siap.

Pembinaan hospital itu adalah satu daripada beberapa projek pembangunan menaik taraf HKL.

Sementara itu, Mohd Faridul Ismail Abd Shukor, 52, yang melawat anaknya di wad itu, berkata ini kali pertama beliau bertemu Perdana Menteri.

“Saya tidak sangka dapat berjumpa pemimpin nombor satu negara di sini,” katanya.

Berita Harian

One thought on “Najib lawat wad bersalin HKL (video)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.