Manifesto BN Kedah tumpu tujuh kluster utama

Barisan Nasional (BN) Kedah melancarkan manifesto bertemakan ‘Menerus Kemajuan Menzahir Impian’ di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini malam ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, agenda pembangunan yang tersusun, seimbang, realistik, inklusif dan mampu dilaksanakan kepada rakyat negeri ini yamg ditawarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menerusi tujuh kluster utama.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, Kluster Kesejahteraan Hidup Rakyat memberi tumpuan antaranya kepada skim usahawan muda, air percuma kepada penduduk yang layak serta penambahah 18,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negeri.

“Kluster Berimpak Tinggi yang bertujuan memastikan ekonomi negeri dijana selain mengekalkan asas pertumbuhan dan kekayaan jangka panjang sekali gus menyediakan kira-kira 123,000 peluang pekerjaan.

“Menyedari jaringan perhubungan amat penting bagi keselesaan rakyat, tujuh projek pembinaan dan menaik taraf jalan ditawarkan selain pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Pendang, Jitra Selatan, Changlun, Baling dan Sungai Kedah/Anak Bukit menerusi Kluster Jaringan Perhubungan Darat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Manifesto BN Kedah di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Setiausaha BN negeri, Datuk Md. Rozai Shafian.

Kata Ahmad Bashah, Kluster Infra dan Utiliti antara lain menawarkan pelaksanaan projek Jeniang Transfer berjumlah RM960 juta dijangka memberi manfaat kepada 18,000 petani untuk menjayakan skim penanaman dua kali setahun serta projek bekalan air Langkawi bernilai RM600 juta.

“Antara yang ditawarkan dalam Kluster Agama dan Modal Insan adalah pemberian biasiswa diraja bagi 50 pelajar Kedah di Timur Tengah (pengajian agama) yang menyambung pengajian diperingkat ijazah sarjana dan doktor falsafah serta menaja 150 pelajar baharu yang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) selain memperluaskan kemudahan Tuisyen Barakah di setiap kawasan dewan undangan negeri (DUN).

“Perpaduan terus dikukuhkan kerana itu adalah tunjang kesetabilan, BN Kedah menerusi Kluster Masyarakat Berbilang Kaum antara lain menawarkan dana khas bagi menyambut perayaan kaum Cina, India dan Siam, menganjurkan karnival muafakat kaum secara tahunan selain menubuhkan Majlis Sosio Bidaya dan Pendidikan Antara Kaum,” ujarnya.

Infografik

Manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah Pilihan Raya Umum Ke-14

Tujuh Kluster Utama

1. Kluster kesejahteraan Hidup Rakyat.

2. Kluster Berimpak Tinggi.

3. Kluster Jaringan Perhubungan Darat.

4. Kluster Infra dan Utiliti.

5. Kluster Agama dan Modal Insan.

6. Kluster Masyarakat Berbilang Kaum.

7. Kluster Belia dan Anak Muda.

Istimewa dalam Manifesto

– Skim Usahawan Muda dengan suntikan modal RM5 juta.

– Bayaran lesen penjaja dan peniaga kecil dilupuskan dengan tanggungan kerajaan RM10 juta.

– Agihan kotak makanan Barakah diterus dan diperluaskan membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

– Skim air percuma untuk penggunaan 20 meter padu ke bawah diteruskan dengan pembiayaan RM90 juta.

– Rebat cukai pintu kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

– Menyediakan perkhidmatan bas elektrik di bandar-bandar utama demi kemudahan pengangkutan kepada masyarakat.

– Elaun pegawai masjid meliputi imam, bilal dan siak dinaikkan dengan kos RM41 juta bagi tempoh lima tahun.

– Para hafiz dan hafizah disediakan elaun khas tahunan.

– Pembinaan pusat latihan imam kebangsaan di Yan dengan kos RM120 juta.

– Pusat Tuisyen Barakah diperluaskan di semua kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) dengan kos RM5 juta.

– Pembukaan kelas mempelajari bahasa Mandarin, Tamil dan Siam.

– Pembinaan stadium bola sepak baharu bernilai RM200 juta.

– 50 tempat bagi skim perantisan bersama syarikat bertaraf global.

– Kuota 30 peratus lesen, permit dan ruang niaga di premis pihak berkuasa tempatan (PBT). – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.