Mahkamah Indonesia mengesahkan Kapal Equanimity tiada kaitan dengan 1MDB

Mahkamah Indonesia memutuskan pemilik kapal mewah Equanimity yang sah adalah Equanimity (Cayman) Ltd. dan tiada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Brigadier Jeneral Polis Direktorat Tindak Pidana Ekonomi dan Khusus, Dr. Rudy Heriyanto Adi berkata, keputusan Mahkamah Daerah Jakarta Selatan tidak boleh dipertikaikan.

“Selain itu, mahkamah turut memutuskan untuk segera mengembalikan kapal tersebut kepada pemiliknya, Equanimity (Cayman) Ltd. kerana rampasan itu tidak sah dan dibuat tanpa asas undang-undang,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Kapal layar mewah didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low itu dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali pada Februari lalu kerana dipercayai dibeli menggunakan dana yang didakwa diseleweng.

Polis Indonesia juga mengesahkan berita penemuan wang tunai bernilai RM1 bilion dalam kapal Equanimity yang dirampas itu adalah palsu.

Timbalan Pengarah Direktorat Jenayah Ekonomi Khas, Pesuruhjaya Tinggi Polis Indonesia, Da­niel Silitingo berkata, tiada sebarang wang tunai yang ditemukan sepanjang proses pencarian bukti di dalam kapal mewah tersebut.

Berita penemuan wang tunai tersebut tular dalam media sosial selepas pihak berkuasa Indonesia merampas kapal tersebut dan isu itu dipolitikkan oleh pihak pembangkang yang mengaitkannya dengan dana yang diseleweng daripada syarikat 1MDB.

Dalam pada itu, Mahkamah Indonesia turut memutuskan tiada keputusan mahkamah menunjukkan bahawa pemilik kapal mewah itu me­lakukan jenayah.

“Jika kesalahan itu tidak dapat dibuktikan, maka rampasan juga tidak seharusnya berlaku,” kata beliau.

DUA bot polis Indonesia merapati kapal mewah Equanimity yang berlabuh di Teluk Benoa dekat Bali pada 28 Februari lalu.

Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.