Hamzah dedah Mahathir miliki saham RM10 juta dalam The Loaf

Tun Dr. Mahathir Mohamad diingatkan supaya berhenti menipu rakyat apabila menafikan beliau tidak memiliki sebarang saham dalam kedai roti premium, The Loaf yang menutup perniagaannya, baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau mengetahui bahawa Pengerusi PPBM itu memiliki pegangan saham sebanyak RM10 juta dalam kedai tersebut.

“Dia (Mahathir) malu sebab kedai itu (The Loaf) tutup. Sejak ditubuhkan dari tahun 2005, rugi sampai sekarang sudah 13 tahun.

“Sekarang sudah tutup, hendak salahkan kerajaan, jadi usah dengar cakap Mahathir yang putar alam. Cakaplah betul-betul. Banyak perkara yang dia dah buat, dia putarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Bangunan UMNO Batu Kurau hari ini sebelum menyaksikan penyerahan borang keahlian oleh 32 individu dari Kampung Anak Kurau untuk menyertai UMNO di sini.

Bilangan individu itu termasuk segelintir daripada mereka yang keluar daripada menyertai perjuangan PKR dan PPBM, setelah hilang kepercayaan terhadap pucuk kepemimpinan masing-masing.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, beliau kecewa dengan sikap Mahathir yang kini jelas sama sekali tidak berprinsip dalam berpolitik.

Sebaliknya, kata beliau, perjuangan UMNO adalah konsisten dalam membela agama, bangsa dan negara dengan kerjasama erat parti-parti komponen BN.

“Dulu dia (Mahathir) berkata siapa yang ikut DAP, pengkhianat bangsa tetapi kini dialah yang menjulang tangan Lim Kit Siang.

“Suatu ketika dulu dia cakap macam-macam terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi sekarang dia boleh duduk sekali (dalam perjuangan pembangkang),” katanya. – UTUSAN ONLINE

One thought on “Hamzah dedah Mahathir miliki saham RM10 juta dalam The Loaf

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.