Cawangan, barangan KR1M 2.0 bertambah

Jumlah rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 sehingga Mac lalu mencecah 52 cawangan dengan menggunakan konsep kendalian pemilik serta penjenamaan bersama.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Henry Sum Agong berkata, selain penambahan cawangan, bilangan barangan pengguna berjenama yang dijual pada harga kompetitif turut meningkat daripada 50 unit simpanan stok (SKU) kepada 100 unit SKU.

“Kerajaan secara berterusan mengadakan kerjasama dengan peruncit dan pembekal untuk memastikan lebih banyak barangan pengguna berjenama dapat ditawarkan pada harga kompetitif.

“Konsep KR1M 2.0 turut mengekalkan pembungkusan sedia ada sesuatu jenis produk supaya tiada tanggapan negatif masyarakat terhadap barangan yang dijual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) tentang model perniagaan KR1M 2.0 dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.