Bahana politik dendam Dr. Mahathir

PEMIMPIN-PEMIMPIN Pakatan Harapan diketuai DAP boleh berkata apa sa­haja ber­ikutan keputusan Ja­batan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membubarkan sementara PPBM. Lagipun fikiran mereka sememangnya sudah ‘berulat’ dengan politik sebab itulah apa pun tindakan akan dilihat dari sudut tersebut.

Kalau PPBM percaya dalam tempoh 30 hari mereka boleh menyediakan apa yang ditetapkan oleh ROS sudah pasti tiada masalah untuk parti itu terus aktif tetapi kita yakin mereka tidak akan berbuat demikian. Lagipun kita melihat Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih cenderung bimbang nasib Pakatan Harapan berbanding PPBM.

Sebagai sebuah parti yang di­pimpin oleh tokoh hebat seperti Dr. Mahathir, pemimpin berpe­ngalaman seperti Tan Sri Muhyi­ddin Yassin dan pemimpin muda, Datuk Seri Mukhriz, mereka sudah tentu dapat menjangkakan apa yang akan berlaku.

Tetapi kesemua mereka seolah-olah tidak ambil berat. Siang malam sibuk mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menumbangkan Barisan Nasional (BN) sehingga melupakan masalah dalaman sendiri. Ibarat dok jaga tepi kain orang, kain sendiri sudah koyak rabak.

Oleh itu pemimpin-pemimpin PPBM tidak payah bersandiwara untuk menarik simpati kononnya teraniaya dan menganggap tindakan ROS bermotif politik. Namun apa yang paling memualkan apabila Dr. Mahathir mendakwa, tindakan ke atas PPBM itu dilakukan sebagai langkah Perdana Menteri untuk memenangi pilihan raya. Antara lain beliau berhujah – “Ini bermakna saya tidak dibenarkan untuk memperkenalkan diri dalam sebuah parti kerana ia tidak sah. Bukan itu sahaja Pakatan Harapan sebagai satu pakatan juga tidak dapat didaftarkan ke­rana dalam kalangan anggotanya ada parti yang tidak sah.”

Inilah antara kenyataan melucukan seorang yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan mengepalai UMNO dan BN dalam lima pilihan raya sebelum ini. Ia memandangkan PPBM bukanlah sebuah parti besar. Sebaliknya parti serpihan yang tiada kekuatan. Malah pemimpin parti itu terpaksa ‘menjilat ludah sendiri’ apabila sanggup ‘me­nyembah’ mu­suh politik mereka yang ada antaranya pernah dikecam sebagai rasis dan cauvinis.

Kekuatan yang dilihat ada kepada PPBM ialah memecah belahkan undi orang Melayu yang sekali gus akan mengukuhkan kedudukan DAP. Oleh itu kenapa perlu kerajaan BN takut sa­ngat dengan PPBM? Kalau mahu dibandingkan dengan kewujudan PKR pada 1999 parti tersebut ketika itu dilihat jauh lebih hebat daripada PPBM.

Kalau benarlah kerajaan takut kalah dalam pilihan raya, buat apa mahu membubarkan sementara parti yang ibarat melukut di tepi gantang dalam Pakatan Harapan. Lebih baik membubarkan DAP, parti paling berkuasa dan dominan dalam pakatan tersebut.

Peluang tersebut terbuka luas ketika pemilihan CEC DAP tidak lama dulu diisytiharkan tidak sah, tetapi ROS memberi peluang kepada DAP memperbetulkan kea­daan dan sekarang parti itu tidak ada apa-apa lagi masalah dari segi pendaftaran apabila mengadakan semua pemilihan berkenaan. Ia bermakna apapun tindakan ROS ia tiada kaitan dengan kerajaan.

Oleh itu, Dr. Mahathir perlu menyalahkan diri sendiri dan me­ngakui beliau tidaklah sehebat mana apabila mengepalai sebuah parti baharu. Kalau Dr. Mahathir sedar risiko yang bakal ditanggung oleh PPBM sudah tentu awal-awal lagi beliau akan berusaha mengatasi masalah dalaman parti tersebut yang berkaitan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian.

Tetapi Dr. Mahathir seolah-olah sengaja membiarkan keadaan itu sehinggalah memaksa ROS bertindak. Ros hanya men­ja­lankan tu­­gas­nya mengikut pe­runtukan un­dang-undang. Dan perlu diingatkan pada 1988 UMNO turut diharamkan. Sebenarnya bukan ROS yang bermain politik tetapi PPBM. Seperkara lagi, bukankah PPBM bersekutu dengan DAP, PKR dan PAN yang di dalamnya mempu­nyai peguam-peguam yang hebat-hebat. Sepatutnya mereka boleh memberi nasihat supaya Pakatan Harapan tidak didaftarkan selagi PPBM tidak menyelesaikan isu dalamannya.

Bagaimanapun itu tidak berlaku. Mungkin kerana mereka menyedari PPBM sebagai sebuah parti tidak ada apa-apa kekuatan, tetapi mereka boleh memperalatkan beberapa pemimpin PPBM seperti Dr. Mahathir untuk me­raih soko­ngan orang Melayu.

Justeru Dr. Mahathir berhentilah daripada sikap menuding jari kepada pihak lain. Akuilah sahaja beliau sudah gagal memimpin PPBM sehingga menyebabkan parti itu dibubarkan sementara.

Lagipun ia bukan bermaksud beliau atau pemimpin PPBM tidak boleh bertanding dalam PRU-14. Mereka boleh menjadi calon Bebas yang menggunakan lambang PKR – sebuah parti yang ditubuhkan akibat dendam terhadap tindakan Dr. Mahathir memecat Datuk Seri Anwar daripada kerajaan dan parti pada 1998.

Keadaan ini menggembirakan penyokong PKR kerana walaupun reformasi ‘sudah ke laut’ melalui tindakan berbaik-baik dengan Dr. Mahathir, sekurang-kurangnya mereka berjaya menundukkan insan yang pernah digelar ‘Maha Firaun’ dan ‘Maha Zalim’ itu untuk melekatkan lambang parti tersebut di dadanya.

Kesimpulannya, pembubaran sementara PPBM bukanlah salah orang lain tetapi bahana akibat nafsu amarah dan dendam politik Dr. Mahathir terhadap Perdana Menteri, itu sahaja.

Zulkiflee Bakar
Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.