Siapa calon Menteri Besar gabungan pembangkang PKR Kedah?

Share


SEHINGGA ke saat ini gabungan pembangkang PKR negeri ini belum menamakan siapa calon Menteri Besar mereka andai parti itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Begitu juga Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir setiap kali soalan sama diajukan sebelum ini gagal memberi jawapan termasuk ketika majlis gabungan itu memperkenalkan calon mereka di sini baru-baru ini.

Jawapan yang sering diberikan bekas Timbalan Presiden PPBM itu adalah sekadar, “Belum putus.”

Ini agak janggal kerana berbanding dengan langkah mereka di peringkat Pusat, calon Perdana Menteri sementara iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah diumumkan sejak sekian lama. Jadi apa lagi yang ditunggu-tunggu oleh gabungan pembangkang PKR itu di Kedah?

Apatah lagi mereka sebelum ini sudah mendabik dada bahawa Kedah akan jatuh ke genggaman mereka.

Adakah perkara itu masih gagal diputuskan? Umpama pembahagian kerusi untuk PRU-14 antara sekutu sebelum ini sehingga saat-saat akhir baru dimuktamadkan?

Namun sejak kebelakangan ini, tiga nama pemimpin utamanya di Kedah disebut-sebut bakal dinamakan sebagai Menteri Besar iaitu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Datuk Ir Amiruddin Hamzah iaitu kedua-dua merupakan bekas pemimpin PPBM Kedah.

Tidak ketinggalan, Datuk Johari Abdul yang merupakan calon PKR di Parlimen Sungai Petani dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.

Ketiga-tiga mereka bertanding di dua kerusi dalam PRU-14 iaitu Mukhriz di Parlimen Jerlun dan DUN Jitra sementara rakan baiknya, Amiruddin pula di Parlimen Kubang Pasu dan DUN Anak Bukit.

Namun usaha meletakkan dua calon bekas pemimpin PPBM berkenaan di kerusi Menteri Besar itu dilihat bukan mudah seperti ketika gabungan itu memutuskan
formula 14-10-10-2 untuk pembahagian kerusi DUN sebelum ini yang hampir kacau bilau.

Apatah lagi pemimpin PKR Kedah sendiri sejak awal lagi mengumumkan untuk menakluk Kedah apabila memberitahu dominasi calon pemimpin PPBM yang dibubarkan dalam PRU-14 di Kedah itu belum memberi jaminan calon Menteri Besar adalah dari parti itu.

Sesuatu yang pasti PKR negeri tidak semudah itu melepaskan kerusi Menteri Besar itu kepada sekutu mereka.

Dengan kempen PRU-14 yang bermula semalam tentunya agak menarik untuk menyaksikan percaturan gabungan pembangkang PKR ini. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *