Penamaan Calon : PKR Buktikan Calon Mereka Kurang Cerdik

Share


KREDIBILITI pakatan pembangkang diketuai DAP terus tercalar. Mereka mengukuhkan dakwaan yang calon mereka kurang cerdik apabila enam calon PKR gagal bertanding akibat kecuaian sendiri antaranya terlupa bawa kad pengenalan, tidak memakai pas calon dan salah alamat.

Lebih memalukan lagi apabila Azwan Ali pula tidak mempunyai sebarang masalah memenuhi syarat pencalonan untuk bertanding tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Malah ramai netizen memuji pengacara itu.

Azwan berjaya menghantar borang pencalonan tanpa sebarang masalah di sebalik berbagai drama yang dicetuskan gabungan pembangkang PKR.

Azwan tiba awal di lokasi penamaan calon, membawa kad pengenalan dan menyediakan pas calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali gus berjaya lulus proses penamaan calon tanpa sebarang masalah.

Perkara asas seperti ini pun gagal ditangani calon pakatan, bagaimana mereka mahu berkhidmat dan berjuang untuk rakyat. Dengan kata lain, mereka ini tidak layak untuk menjadi calon pun.

Azwan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa melibatkan saingan lima penjuru termasuk menentang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan abangnya. Beliau merupakan pengacara berkelulusan undang-undang itu memilih menggunakan simbol gajah.

SPR telah menolak pencalonan dari PKR atas beberapa alasan, termasuk muflis, didenda oleh mahkamah, dan gagal menunjukkan pas memasuki kawasan penamaan calon.

Tian Chua menjadi antara ‘orang kuat’ PKR gagal bertanding di kerusi Parlimen Batu, selepas SPR memberi alasan dia pernah dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2013.

Di REMBAU, calon PKR bagi kerusi DUN Rantau, S Streram gagal mengemukakan kertas pencalonan apabila tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana gagal menunjukkan pas calon seperti yang disyaratkan SPR.

Kedua-dua penyokong dan pencadangnya juga tidak mempunyai pas perakuan daripada SPR.

Berikutan itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agos Suyub mengumumkan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, menang tanpa bertanding.

Di KELANTAN, SPR menolak kertas calon PKR, Mohd Azihan Che Seman bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang, atas alasan status tempat tinggal serta alamatnya.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nik Mohamed Noor Nik Ishak mengumumkan perkara itu selepas masa untuk penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok di sini kira-kira jam 1.10 tengah hari tadi.

Berikutan itu, kerusi DUN Tawang hanya menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon PAS yang juga penyandang, Datuk Hassan Mohamood dan calon muka baharu BN, Datuk Mohd Radzuan Abdullah.

Di PAGOH, calon Bersatu yang akan bertanding atas lambang PKR juga menerima nasib sama apabila pencalonan Pizi Jihat bagi kerusi DUN Bukit Pasir ditolak.

Di KEPALA BATAS, Pulau Pinang, calon PKR, Yaakob Osman bagi DUN Penaga hilang kelayakan bertanding kerana beliau pernah diisytiharkan muflis.

Di JELI, Kelantan, calon Harapan bagi DUN Kuala Balah, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran juga hilang kelayakan bertanding selepas diisytihar muflis.

Di SELANGOR, pertukaran calon PKR bagi DUN Bukit Melawati pada saat akhir menyaksikan parti berkenaan berpeluang bertanding, selepas SPR menolak permohonan calon awal, Sivamalar Genapathy berikutan semakan alamat di luar Selangor.

Pengurus Pilihan Raya, Railah Rahmat berkata, SPR menolak penamaan itu kerana melanggar peraturan ditetapkan tetapi menerima pencalonan baharu.

SPR menerima penggantian calon PKR baharu, Juwairiya Zulkifli selepas menerima watikah pelantikan yang difakskan parti itu sebelum jam 10 pagi tadi.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *