DAP ‘kepala’ pecah undi Melayu

Share

DAP disifatkan sebagai ‘kepala’ yang menguasai pakatan pembangkang dengan memperalatkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memecah belahkan undi Melayu.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, berkata kaedah itu digunakan DAP untuk merealisasikan agenda mengubah kerajaan.

Katanya, ketaksuban dicerminkan DAP semakin terserlah apabila negeri yang ditadbir pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang selama 10 tahun gagal memenuhi janji kepada rakyat.

“Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal menyaksikan tsunami fitnah dan hasutan menjadi sandaran pembangkang serta penyokongnya, berbanding menawarkan agenda besar untuk manfaat rakyat.

“Bagi mereka, itu semua tidak penting kerana matlamat utama adalah nak jatuhkan saya dan BN pada PRU-14,” katanya pada sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Sehubungan itu, Najib menitip pesanan kepada pengundi bahawa PRU-14 adalah proses memilih kerajaan di peringkat pusat dan negeri, selain menentukan pihak mana yang bakal menguruskan hidup rakyat dalam tempoh lima tahun.

“Dalam kita buat pilihan, fikirlah sebaiknya, usah digugat oleh kempen berbentuk emosi dan rayuan peribadi daripada mereka yang tersasar daripada perjuangan asal.

“Selain itu, jangan termakan hasutan fitnah dan pembohongan yang bakal bertebaran sepanjang tempoh berkempen.

“Di sebalik pelbagai rayuan peribadi yang saya percaya akan dinyatakan nanti, kita perlu ingat bahawa ia bukan asas untuk menentukan sebuah kerajaan,” katanya pada sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Najib berkata, calon nomad yang terkenal dalam kalangan pembangkang wajar ditolak oleh pengundi kerana mementingkan kedudukan memegang jawatan sebagai wakil rakyat, berbanding memikul amanah untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Sikap sedemikian, katanya, menyaksikan calon pembangkang sering ‘melompat’ kawasan setiap kali PRU diadakan dengan menjaja isu untuk mengeruhkan keadaan.

“Modal mereka (pembangkang) ketika berkempen amat mudah, iaitu melakukan tsunami fitah demi meraih sokongan pengundi.

“Contoh terbaru, gambar pelancaran tugu nasional yang saya hadiri disunting dengan menggantikan longgokan duit pada tapak model replika projek hasil usaha sama Khazanah Nasional.

“Gambar fitnah seperti ini akan terus disebarkan pada PRU-14, justeru usah percaya dengan perkara seperti ini, sebaliknya pilih kerajaan bersandarkan agenda pembangunan yang ditawarkan,” katanya sambil menunjukkan gambar disunting pihak tertentu.

Berita Harian

Leave a Reply