Transformasi industri automotif terus dipacu jika BN dapat mandat – Najib

Share


Kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) akan terus mendukung transformasi industri automotif ke arah mobiliti masa hadapan jika terus diberikan mandat memegang tampuk pemerintahan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berucap pada majlis jerayawara Mobiliti Terhubung dan pelancaran Malaysia Autoshow 2018 hari ini, perdana menteri berkata Dasar Automotif Negara 2018 adalah penting sebagai enjin penggerak kepada ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Manfaat-manfaat daripada kajian semula Dasar Automotif Negara hanya boleh tercapai di bawah kesinambungan kerajaan di bawah pentadbiran saya.

“Dengan adanya kemajuan dalam sistem pengangkutan dan ciri-ciri futuristik, ini sudah semestinya akan membawa manfaat kepada rakyat dari segi kecekapan, peningkatan produktiviti dan pembangunan teknologi.

“Kerajaan BN merupakan sebuah parti yang boleh diyakini untuk membawa hasrat seluruh Malaysia melalui pengalaman baharu dalam pengangkutan futuristik pada masa hadapan,” katanya.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri J.Jayasiri dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive Institute (MAI) Datuk Madani Sahari.

Najib berkata MITI dan MAI telahpun memulakan kajian semula Dasar Automotif Negara 2018 (NAP 2018) merangkumi empat tonggak utama iaitu Kenderaan Generasi Baharu, Mobiliti, Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Kecerdasan Buatan.

“Bagi merealisasikan visi ini, dasar dan peraturan hendaklah disemak dan diselaraskan.

“Penglibatan secara holistik merentasi pemegang kepentingan termasuk kementerian, agensi industri automotif dan golongan belia adalah penting dalam merancang dan melaksanakan strategi industri ke arah hala tuju yang sama di samping meningkatkan daya saing indusri automotif negara,” katanya.

Najib berkata justeru, kerajaan BN akan mengambil langkah proaktif, lebih teliti dan mempunyai perancangan yang tersusun dalam merangka agenda pembangunan negara seperti terkandung dalam manifesto BN yang dilancar pada 7 April lepas.

Menurut perdana menteri, antara yang diberi tumpuan dalam manifesto itu berkaitan ‘Pengangkutan Futuristik’ adalah pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), membina landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Pengkalan Kubor, Kelantan dan pembangunan Sistem Aliran Transit Ringan (LRT) serta fasa 3 Sistem Aliran Transit Massa (MRT).

Beliau berkata pelbagai inisiatif untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih mapan dan efisien ini tidak bermakna kerajaan akan berhenti menyediakan dan membangunkan kemajuan infrastruktur untuk rakyat.

“Ini tidak bermakna usaha kita telah selesai. Kita perlu memastikan adanya kesinambungan dalam membangunkan dasar yang lebih baik dan akan memberikan impak positif kepada rakyat termasuk generasi akan datang,” katanya.

Menurut Najib, adalah menjadi aspirasi kerajaan supaya industri automotif negara terus berkembang menjadi lebih pintar dan canggih seterusnya terus memandang jauh ke hadapan.

“Kita harapkan cita-cita rakyat Malaysia untuk memiliki kereta elektrik, menikmati kereta pandu sendiri dan kereta terbang atau flying car akan tercapai suatu hari nanti,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan akan terus membawa aspirasi rakyat untuk melonjakkan ekonomi Malaysia yang seimbang dari aspek kematangan sosial, perkongsian kekayaan dan kelestarian alam sekitar.

— BERNAMA



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *