Tumpu usaha menangkan BN

Share

MASA melobi calon sudah tamat dan kini masanya pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat mempertahankan kepentingan bangsa dan agama daripada jatuh ke tangan DAP. GAMBAR HIASAN/UTUSAN
SEMUA pengerusi perhubungan Barisan Na­sio­nal (BN) telah pun me­nerima watikah calon-calon yang akan diturun­kan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini. Siapa yang terpilih dan siapa pula yang digugurkan akan diketahui apabila pengumuman calon dijalankan secara berperingkat-peringkat mulai semalam.

Ini secara rasminya bermakna tamatlah sudah sebarang usaha lobi melobi untuk menjadi calon kerana pucuk pimpinan parti telah membuat keputusan dan sudah pasti keputusan yang dilakukan mengambil kira pelbagai faktor.

Pertembungan kali ini dianggap paling sengit dalam sejarah pilihan raya. Parti-parti pembangkang khususnya gabungan pembangkang PKR dikuasai DAP yang turut disertai oleh PPBM yang dibubarkan sementara dan PAN bersungguh-sungguh mahu memastikan PRU-14 sebagai ge­langgang untuk menamatkan pemerintahan BN yang UMNO men­jadi tonggaknya.

Oleh itu, semua pemimpin komponen BN tidak kira di pe­ringkat apa pun perlu menerima keputusan pucuk pimpinan parti berkaitan calon, maknanya tutuplah buku berhubung perkara tersebut. Semua calon harus diberikan sokongan penuh kerana mereka bukannya turun ke ge­langgang sebagai individu tetapi membawa panji-panji parti.

Jangan terus mahu melakukan kerja-kerja bodoh termasuk bertindak mensabotaj parti ha­nya disebabkan kita tidak di­pilih menjadi calon atau pemimpin yang kita sokong tidak tersenarai kerana akhirnya Allah SWT penentu segala-galanya.

Tiada apa yang lebih pen­ting sekarang selain memastikan pemerintahan BN terus dapat dipertahankan dan sekali gus mengelakkan DAP menjadi parti paling berkuasa di negara ini. Sekarang pun parti tersebut sudah menunjukkan belangnya dalam menguasai gabungan pembangkang PKR. Sekutunya yang lain termasuk PPBM dan PAN tidak ada apa-apa kuasa kerana pembahagian kerusi sudah membuktikan DAP pasti menjadi ‘taiko’ dalam gabungan berkenaan tidak kira sama ada mereka menang pilihan raya atau tidak.

Ketika ini DAP ‘sudah berpesta’ apabila berjaya menundukkan musuh-musuh politiknya yang berada menubuhkan PPBM. Pemim­pin-pemimpin parti itu telah, sedang dan akan ‘diperkudakan’ bagi mencapai impian mereka mewujudkan ‘tsunami Melayu’.

DAP mahu mencipta ‘tsuna­mi sempurna’ dengan menggabungkan sokongan pengundi Cina dengan pengundi Melayu. Sebab itulah mereka tidak kisah mengorbankan simbol bersejarah mereka dan bersedia menggunakan logo PKR kerana dalam politik bukan soal logo tetapi soal siapa paling berkuasa.

Pemimpin-pemimpin BN khususnya UMNO perlu berlapang dada apabila tidak terpilih menjadi calon. Menjadi ketua bahagian bukanlah bermakna layak secara automatik menjadi calon, semua itu hanyalah tradisi. Kalau di bahagian mereka ada calon yang lebih layak maka dia harus diberi peluang, tidak perlu ‘meroyan’ atau mengamalkan sikap ‘aku tak dapat, kau pun tak dapat’.

PRU-14 bukan berkaitan soal kemenangan individu atau me­ngukuhkan kedudukan seseorang untuk bertanding dalam pemilihan parti tetapi memastikan UMNO tidak hilang kuasa dan paling malang kalau ia terjadi ­kerana sabotaj dalaman.

Ingatlah musuh utama UMNO bukannya dalam kalangan komponen BN atau sesama sendiri dalam parti tetapi pembangkang. Itulah musuh sebenar UMNO dan BN yang perlu ditewaskan dalam pilihan raya.

Justeru adalah penting semua komponen BN sehati sejiwa dan menghapuskan sebarang perasaan tidak puas hati terutamanya dari segi pembahagian kerusi. Jangan ada dalam kalangan mereka mahu melakukan perbuatan jahil dengan menjadikan PRU-14 sebagai medan untuk membalas dendam kononnya kerana ‘disabotaj’ pada PRU-13.

Begitu juga dengan tindakan yang sering berlaku dalam pilihan raya oleh sesetengah ‘kepala’ yang memegang peruntukan bila pilihan raya. Janganlah kerana tidak terpilih sebagai calon, peruntukan itu ‘diperam’ seolah-olah ia ‘halal’ untuk disimpan atau digunakan untuk tujuan lain.

Hakikatnya, gabungan pembangkang tidaklah kuat malah mereka juga tidak sepakat tetapi semata-mata mahu menumbangkan BN dan UMNO mereka sanggup mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara termasuk menerima musuh nombor satu sebagai sekutu.

Apa yang dilakukan oleh gabu­ngan itu sememangnya memualkan dan tidak pernah terfikir oleh sesiapa juga terutamanya jika mereka mengimbas kembali sejarah politik negara sejak 1998. Tetapi mereka sanggup bersikap hipokrit dan bersandiwara semata-mata kerana menumbangkan BN.

Dari segi kepemimpinan parti dan negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan dibantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah melakukan segala-galanya. Rakyat pula semakin yakin berbanding gabungan pembangkang PKR yang DAP menjadi ‘taikonya’, BN jauh lebih baik.

Kepada pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat, ingatlah pertarungan dalam PRU-14 adalah demi mempertahankan kepentingan bangsa dan agama. Ini kerana kita tahu siapa yang paling berkuasa di sebelah sana.

Pemimpin Melayu di dalam gabungan pembangkang hanya alat dan seterusnya sekadar boneka. Mereka tiada upaya untuk melawan kehendak politik DAP. Pemimpin-pemimpin DAP menentukan segala-galanya, oleh itu bayangkan apa akan berlaku jika mereka menang.

Kesimpulannya, lupakan soal ca­lon, semuanya sudah selesai, sekarang adalah masa untuk membuat persiapan bagi berhadapan ‘pertempuran sengit’ bermula 28 April ini. Percayalah niat yang baik sentiasa dirahmati Allah SWT tetapi kalau niat tidak baik termasuk mensabotaj parti sehingga boleh mengakibatkan bangsa dan agama berada dalam kedudukan tidak selamat, lambat laun pembalasan pasti tiba.

Zulkiflee Bakar
Utusan

Leave a Reply