Ingatlah, DAP tetap DAP

Share

Kesukaran mendapat sokongan pengundi Melayu yang kurang gemar kepada logo roket menjadi sebab utama DAP membuat tindakan drastik mengetepikan logonya sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Walaupun dilihat tidak berprinsip, namun bagi penganalisis politik, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim, DAP tidak mempunyai pilihan kerana mereka terdesak untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) setelah beberapa percubaan sebelum ini gagal.

Sehubungan itu, pengundi Melayu diharapkan tidak akan tertipu dengan taktik licik ini kerana walau apa pun logo yang digunakan, DAP akan tetap menjadi DAP yang sememangnya tidak ‘mesra’ Melayu dan Islam.

“Seluruh gabungan pembangkang PKR kini sudah dijangkiti fahaman politik ‘matlamat menghalalkan cara’ ala Niccolo Machiavelli yang diamalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang.

“Pengundi Melayu jangan tertipu. Walau apa pun baju yang dipakai, dalamannya mereka tetap DAP,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini..

Sementara itu, Ahmad Faris menjangkakan DAP akan kehilangan sokongan daripada pengundi mereka kali ini akibat tindakan drastik tersebut.

“Logo merupakan jati diri sesebuah parti. Tindakan DAP ini mendedahkan wajah sebenar mereka yang sanggup meletakkan jati diri dan maruah ke tepi demi merebut kuasa.

“Tindakan ini juga akan mengurangkan sokongan terhadap mereka, terutamanya daripada pengundi muda memandangkan pengundi muda yang idealistik pasti tidak dapat menerima tindakan tidak bermaruah sebegini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply