Hapus GST tidak janji penurunan harga barang – pakar cukai

Bukan sahaja bersifat populis, manifesto gabungan pembangkang PKR untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari seandainya menjadi kerajaan Pusat adalah sukar dilakukan selain tidak menjanjikan penurunan harga barangan.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Datuk Abd. Aziz Abu Bakar berkata, gabungan tersebut tidak menyediakan mekanisme alternatif untuk menampung kehilangan berbilion ringgit akibat penghapusan GST sedangkan pada sama menabur pelbagai janji seperti mahu menghapuskan kutipan tol yang memerlukan dana bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

“Jika laksanakan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kerajaan masih kehilangan RM24 bilion berbanding kutipan GST.

“Adakah pembangkang boleh berjanji dengan rakyat jika GST dihapuskan harga barang boleh turun walhal banyak faktor lain mempengaruhi harga barang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Cukai Malaysia 2018 di sini hari ini.

Tambah beliau, alasan bahawa kehilangan RM24 bilion itu mampu diimbangi dengan menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah terlalu umum serta sukar diselesaikan hanya dalam tempoh 100 hari. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply