Permainan DAP – songkok dan lambang mata

Sebaran :

DALAM mengkaji sejarah politik, sama sekali tidak boleh dilupakan bagaimana Perdana Menteri pertama Singapura yang juga merupakan Setiausaha Agung PAP, mendiang Lee Kuan Yew menarik sokongan orang Melayu dengan memakai songkok.

Sokongan masyarakat pribumi ternyata amat diperlukan, oleh itu, tidak menghairankan untuk melihat segala pendekatan digunakan semata-mata bagi menarik sokongan.

Membandingkan perkara tersebut di Malaysia, parti DAP yang lahir daripada PAP, tidak terkecuali dilihat bersungguh-sungguh mengumpan sokongan masyarakat Melayu dalam setiap kali pilihan raya umum.

Dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin dihampiri, DAP sudah sampai ke peringkat sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih kuasa termasuk mengetepikan logo roket miliknya dan mengambil logo PKR.

Matlamat paling besar DAP pada masa ini sudah tentunya adalah bagi memerangkap pengundi-pengundi Melayu kepada gabungan pembangkang PKR ekoran keyakinan parti itu dapat menawan majoriti pengundi Cina.

Begitupun, rakyat Malaysia khususnya bangsa Melayu wajar sedar DAP penuh dengan sandiwara. Parti itu sama sekali tidak akan memisahkan dirinya dengan agenda Malaysian Malaysia bagi menyamaratakan hak-hak yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan segala keputusan-keputusan penting gabungan pakatan itu akan ditentukan oleh DAP, parti-parti lain terpaksa tunduk akur kepada kehendak DAP sebagaimana yang pernah berlaku semasa Kerajaan Negeri Perak dikuasai pakatan pada tahun 2008-2009.

Selain itu, DAP juga memiliki rekod kebiadaban dan keangkuhan sebagaimana pernah ditunjukkan wakil-wakil rakyatnya yang enggan mengenakan pakaian rasmi dan songkok pada upacara pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Meskipun simbol roket mungkin tidak kelihatan, menyerahkan negara kepada lambang mata PKR itu adalah bersamaan dengan menyerahkannya kepada DAP. Demi mendapatkan kuasa, DAP sanggup melakukan apa sahaja. – UTUSAN ONLINE


Sebaran :

Leave a Reply