Najib ‘Apai Besai’ paling sayang Sarawak, rekod 60 kali lawatan dalam 9 tahun

Share


LAWATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama dua hari ke Sarawak baru-baru ini, mencipta rekod peribadi kepada beliau apabila muncul sebagai pemimpin nombor satu negara yang paling kerap melawat Bumi Kenyalang.

Merekodkan 60 kali lawatan dan berkesempatan menjejakkan kaki ke 160 lokasi di seluruh Sarawak dalam tempoh 9 tahun merupakan satu sejarah kerana belum pernah ada Perdana Menteri sebelum ini yang begitu kerap `turun padang’ untuk bertemu rakyat negeri ini.

Rekod kedatangan Najib ke Sarawak jauh meninggalkan calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang hanya meluangkan masa melawat negeri `deposit’ BN ini sebanyak 10 kali, biar pun pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Melihat kepada rekod cemerlang kehadiran Najib di Sarawak, tidak dapat dinafikan betapa dekat dan istimewanya hubungan beliau dengan para pemimpin dan rakyat Bumi Kenyalang.

Paling istimewa pada setiap kali lawatan, beliau tidak pernah lupa membawa `buah tangan’ dan mengotakan janjinya kepada rakyat Sarawak.

Buktinya dalam tempoh hanya sembilan tahun pemerintahan, Najib telah menghadiahkan rakyat Sarawak dengan Lebuh Raya Pan Borneo, menyerahkan sepenuhnya pemilikan Empangan Hidroelektrik (HEP) Bakun dan kerajaan negeri mendapat semula sedikit demi sedikit penurunan kuasa yang dituntut menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Keistimewaan hubungan yang terjalin ini bukan sahaja dirasai oleh rakyat Sarawak tetapi diakui sendiri oleh Perdana Menteri dalam catatan beliau menerusi Blog Najibrazak Com.

Menurut Perdana Menteri, jika ukur daripada segi kekerapan kunjungan dan program yang dilaksanakan, memang jelas bahawa Sarawak sentiasa dekat di hatinya, apatah lagi mengambil kira peruntukan sebanyak RM4.3 bilion yang sudah diluluskan semasa program tinjauan mesra sebelum ini dan belum termasuk diumumkan dalam lawatan ke-60 baru-baru ini.

Perhatian istimewa diberikan kepada Sarawak didorong oleh pendirian beliau bahawa sebagai Perdana Menteri atau `Apai Besar’ negara adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan pembangunan seimbang kepada semua kawasan dan sekiranya ada jurang pembangunan, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk mengatasinya.

Menerusi catatannya, beliau turut membidas Dr. Mahathir kerana tergamak menguris perasaan rakyat Sarawak dengan mengatakan mereka malas, lembab dan tamak, sedangkan beliau sendiri mengabaikan rakyat negeri ini selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Ujarnya, beliau tidak pernah dan tidak sesekali akan mengeluarkan perkataan yang boleh menguris hati rakyat Sarawak seperti dilakukan oleh Dr. Mahathir kerana mengenali hati budi rakyat negeri ini.

Bagi Najib, Sarawak mempunyai potensi besar dan sebagai `Apai Besai’ Malaysia, beliau memberi komitmen bahawa kerajaan Persekutuan akan terus memberi bantuan serta sokongan kepada kerajaan negeri untuk merealisasikan impian menjadikan Sarawak sebagai antara negeri yang membangun paling pesat di negara ini. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *