Mahathir Akan Bertanding Di Lembah Klang?

Share

Oleh Amin Yatim

Tun Mahathir Mohamad, calon Perdana Menteri, “pakatan harapan” dijangka meninggalkan negeri kelahirannya, Kedah, untuk bertanding di Lembah Klang sebagai langkah meyakinkan para penyumbang dana dan pengundi atas pagar bahawa beliau akan menang dalam pilihan raya umum nanti.

Sejak setahun lalu Mahathir diuar-uarkan akan bertanding di Langkawi atau Kubang Pasu. Walaupun beliau Ahli Parlimen Kubang Pasu selama lebih 20 tahun, namun Langkawi lebih merupakan pilihan selamat beliau di Kedah.

Realitinya, apakah beliau akan menang jika bertanding di Kedah?

Kubang Pasu

Kubang Pasu dilihat terlalu kuat untuk UMNO dan Barisan Nasional. Walaupun Mahathir begitu lama menjadi wakil rakyat di sana, kebanyakan perkhidmatan masyarakat dilakukan oleh beberapa pemimpin akar umbi seperti Johari Baharum (Ahli Parlimen sekarang) dan bekas Menteri Besar Tan Sri Osman Aroff. Sungguhpun dua ADUN dalam kawasan terbabit dilihat orang Mahathir namun mereka jelas menjarakkan diri apabila beliau keluar UMNO.

Kekalahan Mukhriz Mahathir dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu pada 2004 merupakan tanda awal penghakisan pengaruh Mahathir di sana. Ini diperkukuhkan lagi dengan kegagalan Mahathir menang pemilihan G7 perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO 2007.

Dengan Johari Baharum, Timbalan Menteri Pertahanan, pemimpin akar umbi sejak 30 tahun lalu dijangka kekal bertanding, Mahathir sukar untuk menang dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan Barisan Nasional, Pas dan PKR (Pakatan Harapan). Ini kerana Kubang Pasu sentiasa menjadi pentas penyokong konservatif Melayu membabitkan UMNO (Barisan Nasional) dan Pas.

Langkawi Kerusi Selamat Mahathir?

Cakap-cakap politik paling kuat sudah tentulah Mahathir akan bertanding di Langkawi. Pulau yang beliau promosikan sepanjang kerjaya beliau sebagai Perdana Menteri. Fakta ini dkuatkan lagi dengan pelantikan Mahathir sebagai Ketua Bahagian Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di situ.

Namun Mahathir sekali lagi berhadapan cabaran besar untuk mengubah pola pengundian Melayu konservatif yang berpaksikan UMNO dan Pas sejak berpuluh tahun lalu. Mengikut daftar pemilih terbaru, 90% daripada 42,793 pengundi Langkawi adalah kaum Melayu dan beragama Islam. Dalam dua pilihan raya lalu undi yang diterima oleh gabungan PKR-PAS tidak lebih dari 10 ribu pengundi.

Barisan Nasional menang dalam pilihan raya umum lalu dengan 21,407 undi berbanding PKR 9,546 undi. Dengan andaian Mahathir mampu menarik 30 peratus undi UMNO/Barisan Nasional sebelum ini pun, ia masih cabaran yang sukar untuk menang. Ini kerana Pas sendiri mempunyai pengundi tradisonal sekitar 5000 orang sejak beberapa pilihan raya lalu.

Ketika tsunami politik 1999 dan 2008, Langkawi kekal memberi majoriti yang besar kepada Barisan Nasional. Justeru ditambah dengan pengenalan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan lain-lain projek pembangunan di sana, adalah sukar untuk melihat Barisan Nasional hilang kerusi ini.

Kekuatan Mahathir

Kekuatan sebenar Mahathir adalah di Lembah Klang, pusat segala percambahan maklumat dan gosip politik serta pengundi muda yang beremosi. Mahathir popular di lembah klang kerana jumlah pengundi muda bawah 40 tahun yang ramai. Mereka tidak cukup tua untuk mengetahui segala masalah dan “kejahatan” Mahathir.

Mahathir mempunyai peluang untuk menang lebih tinggi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berbanding Kedah. Tiada pengundi Melayu tradisional akan mengundi Mahathir yang bersengkongkol dengan DAP dan BERSIH. Mereka tahu apa agenda kedua-dua entiti ini ke atas Melayu dan Islam.

Namun di bandar agenda Melayu dan Islam bukan lagi agenda sebahagian besar pengundi muda. Mereka lebih terbuka kepada isu “good governance”, berjiwa “anti-estabalishment” dan tidak terlalu terikat kepada parti politik seperti di luar bandar.

Jika Mahathir mahu meyakinkan para pemodal politik dan penyumbang dana bahawa beliau adalah bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan, beliau akan memilih kerusi-kerusi seperti Bandar Tun Razak, Setiawangsa, Titiwangsa, Lembah Pantai, Wangsa Maju dan Shah Alam.

Soalnya, apakah Mahathir sanggup meleburkan egonya lari ke Kuala Lumpur bagi meyakinkan pengundi bahawa beliau akan menang dalam Pilihan raya akan datang?

Jika Mahathir bertanding di Kedah, maka bolehlah para pemberi dana politik dan penyokong PPBM melupakan hasrat untuk melihat Mahathir menjadi Perdana Menteri. -MYKMU.NET

Pakar: Berpusu tinggalkan Lembah Klang sukarkan pembendungan Covid-19

Leave a Reply