Dakwaan Tun M hanya mainan mimpi – Musa Hassan

Share

Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya agensi keselamatan termasuk pihak polis dan tentera hanya akan tersedar selepas dirinya dibunuh boleh dianggap sebagai ‘mainan mimpi’ semata-mata yang dialami bekas Perdana Menteri itu.

Malah, dakyah Dr. Mahathir bahawa polis dan tentera ‘bersubahat’ menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menjadi ‘alat’ kerajaan sehingga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan juga dianggap sebagai tuduhan liar.

Mengulas mengenai perkara ini, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sebagai pegawai kerajaan, polis dan tentera perlu taat dan menghormati kepemimpinan kerajaan pemerintah atau ‘government of the day’.


Jelas beliau, agensi keselamatan seperti polis dan tentera telah dilatih supaya taat kepada negara dan raja-raja Melayu termasuk kerajaan yang mentadbir negara mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

“Polis dan tentera perlu menghormati dan taat semua pemimpin negara bukan sahaja pemimpin terkini tetapi juga bekas-bekas pemimpin.

“Tidak timbul isu polis dan tentera menyokong bulat-bulat setiap pemimpin kerana kita hanya hormat dan taat sahaja, malah kita juga ada peraturan tertentu untuk menegur pemimpin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Dr. Mahathir dilaporkan mengkritik polis dan tentera kerana masih menyokong kepemimpinan Najib, malah mengatakan agensi penguatkuasaan itu menunggu sehingga pemimpin lain termasuk dirinya dibunuh sebelum tersedar.

“Saya tertanya-tanya adakah polis dan tentera (di Malaysia) sanggup menunggu sesiapa di kalangan kita dibunuh terlebih dulu, termasuk saya, sebelum mereka sedar…,” kata Dr. Mahathir seperti dipetik portal propembangkang.

Mengulas lanjut, Musa berkata, Dr. Mahathir tidak perlu risau dengan keselamatan dirinya kerana senario politik di Malaysia tidaklah terlampau serius sehingga boleh mengakibatkan peristiwa membunuh pemimpin.


“Atas sebab itulah saya selalu menasihati pemimpin supaya tidak mewujudkan politik kebencian kerana sekiranya perkara tersebut berlaku, macam-macam senario boleh terjadi.

“Nak berpolitik tidak salah, namun pemimpin perlu faham tanggungjawab kepada negara dan menghormati pemimpin lain,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply