Siapa Rafidah pertikai keputusan ROS?

Share


Kelantangan veteran UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz mempertikaikan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang mengarahkan pembubaran sementara PPBM disifatkan sebagai lebih sudu dari kuah dan tidak kena pada tempatnya.

Hal ini kerana, beliau bukanlah pemimpin atau ahli kepada PPBM namun mengeluarkan kenyataan seolah-olah dirinya merupakan salah seorang pengasas kepada parti yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.


Bekas pengasas PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman menyifatkan perilaku bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sejak akhir-akhir ini yang dilihat sering menghentam kerajaan adalah didorong oleh perasaan taksub melampaunya terhadap Dr. Mahathir.


Katanya, Rafidah perlu menilai terlebih dahulu kronologi penubuhan PPBM dan masalah yang dicipta sendiri oleh parti berkenaan sebelum menyalahkan ROS dan kerajaan.


“Saya sebagai salah seorang bekas pengasas PPBM pun berasa pelik dengan kata-kata Rafidah, seolah-olah beliau benar-benar arif dengan perlembagaan PPBM sedangkan Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden parti sendiri pun tidak memahami secara keseluruhan perlembagaan yang dibuat sendiri oleh mereka, inikan pula bukan ahli seperti beliau.


“Keputusan arah bubar sementara ini dikeluarkan oleh ROS dan tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Apakah Rafidah juga mengalami masalah kurang daya ingatan pada usia meniti senja ini seperti mentornya, Dr. Mahathir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Memetik laporan sebuah portal propembangkang semalam, Rafidah telah mengkritik tindakan ROS terhadap PPBM yang dianggapnya sebagai ‘gila dan menjijikkan’ selain mentohmah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya takut kepada Dr. Mahathir. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *