PRU-14: Medan pertembungan ‘bapa-bapa pusingan U’ vs BN

Share


MENANTI tarikh Parlimen negara ini dibubarkan memang satu debaran, berbeza dengan sesetengah negara yang menetapkan lebih awal perkara tersebut.

Selangor dan Pulau Pinang yang dipimpin PKR dan DAP pun tidak memaklumkan lebih awal tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Bahkan amalan ini juga tidak diubah ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Maka tak ada apa-apa yang perlu dipolitikkan.

Jadi, persoalan bab pertama dah terungkai, tunggu lagi bab kedua iaitu teka-teki bilakah tarikh penamaan calon dan hari pengundian. Ikut Perlembagaan, tak boleh lebih 60 hari dari esok tapi cakap-cakap di coffee house sehingga warung kopi simpang lima, ramai menelah pengundian pada awal Mei, iaitu sebelum Ramadan.

Tapi debaran tersebut masih tidak mampu mengatasi ibu segala debaran iaitu parti mana yang bakal menjadi pilihan lebih 14 juta pengundi sama ada Barisan Nasional (BN), pakatan diketuai DAP atau blok ketiga pimpinan Pas.

Itulah kemuncak segala debaran buat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dianggap ramai pemerhati sebagai bapa segala pilihan raya kerana tempoh lima tahun lalu menyaksikan terlalu banyak kejadian aneh berlaku pada politik negara.

Selain status bapa segala pilihan raya kerana gentingnya PRU-14 khususnya kepada kuasa politik Melayu, kebetulan gelanggang kali ini diwarnai oleh ‘bapa-bapa’ yang sepatutnya menyerahkan sahaja kepada anak-anak mereka untuk ‘bertempur’ dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Mengambil tempat pertama, bapa Datuk Seri Mukhriz (Dr. Mahathir, 93,) yang mengejutkan dunia apabila mahu kembali sebagai Perdana Menteri selain tergamak bergabung tenaga dengan seteru lamanya iaitu bapa Lim Guan Eng (Kit Siang, 77,) dan bapa Nurul Izzah ( Datuk Seri Anwar Ibrahim, 70,) semata-mata bagi memposisikan dalam koridor kuasa demi mengukuhkan legasi masing-masing.

Apa yang berlaku kepada ‘bapa-bapa’ ini memang cerminan kepada teori popular iaitu ‘politik, seni yang serba kemungkinan’ sekali gus membuatkan PRU-14 menarik perhatian sarjana politik dunia termasuk media berpengaruh di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Seperti mana doktrin peperangan, “The enemy of my enemy is my friend iaitu musuh kepada musuh saya adalah rakan saya ”, itulah ibaratnya dalam Pakatan Harapan sekarang – pakatan yang bukan terbentuk kerana mahu membangunkan negara seperti BN.

Namun, ramuan itu belum cukup kukuh mencabar kuasa BN dan UMNO. Pastinya Pusingan U Mahathir dan sekutunya yang semakin menjadi-jadi dinilai rakyat kerana siapa sahaja yang rasional mahukan sebuah kerajaan stabil, kukuh dan mempunyai persefahaman jitu antara pemimpinnya untuk mentadbir Malaysia. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *