Pembubaran PPBM: Bila niat tidak ikhlas, inilah jadinya – Hamidah Osman



Sebaran :

‘Semuanya takdir Allah, mungkin niat mereka tidak ikhlas ketika menubuhkan parti.’

Demikian respons bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman ketika diminta mengulas pembubaran sementara parti tersebut seperti yang diumumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hari ini.

Hamidah berkata, walaupun diterajui oleh pemimpin-pemimpin berpengalaman termasuk bekas Perdana Menteri, parti tersebut masih tidak mampu menguruskan perkara-perkara asas.



Katanya, kegagalan ini yang menyebabkan ROS mengambil tindakan membubarkan parti tersebut buat sementara berkuat kuasa hari ini.

“Justeru, jangan cuba untuk menuding jari kepada pihak lain. Semua pihak perlu akur dengan keputusan ini.

“Saya tidak lihat keputusan ini berpunca daripada salah guna kuasa di pihak ROS, sebaliknya ia jelas disebabkan kelemahan tadbir urus para pemimpin parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.



ROS dalam kenyataan hari ini mengumumkan pembubaran PPBM berdasarkan Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 selepas parti tersebut gagal menyerahkan lima dokumen berkaitan pendaftarannya kepada jabatan tersebut.

Mengulas lanjut, Hamidah turut mempersoalkan kewajaran pengasas parti tersebut meletakkan klausa yang mereka sendiri tidak mampu penuhi dalam perlembagaan parti.

Katanya, kegagalan parti menubuhkan cawangan parti menonjolkan kepincangan kepemimpinan parti dalam memahami perlembagaan sendiri.



“Kalau sudah tahu mereka tidak mampu nak tubuhkan cawangan, mengapa dimasukkan klausa tersebut dalam perlembagaan?” soalnya. – UTUSAN ONLINE


Sebaran :


Leave a Reply