Debat: Guan Eng jangan cari alasan – Ka Siong

Share


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng disifatkan penakut apabila terus mencari alasan mengelak berdebat dengan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berhubung projek mega terowong dasar laut yang dirancang kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ka Siong berkata Guan Eng sudah memberikan lapan alasan sehingga ini untuk mengelak perdebatan berkaitan isu itu dengannya, yang terbaharu kononnya mahu konsep seperti perdebatan pemilihan Presiden Amerika Syarikat.

“Saya tidak faham, kenapa beliau beri alasan pilihan raya presiden Amerika Syarikat? Saya nak ingatkan beliau debat ini berkenaan skandal projek bernilai RM20.5 bilion yang dipersetujui oleh EXCO Kerajaan Negeri dan projek itulah yang beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen serta Ketua Menteri mempertahankan beberapa tahun lamanya.

“Guan Eng berterusan menegaskan bahawa beliau adalah pemimpin nombor satu DAP tetapi tiba-tiba menolak untuk berdebat dengan saya yang cuma pemimpin nombor dua MCA.

“Alasan Guan Eng, beliau perlu menghormati etika asas berpolitik dan kesopanan demokratik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebaliknya Ka Siong diminta berdebat dengan ayah Guan Eng, Lim Kit Siang untuk menggantikan tempat anaknya itu kerana Kit Siang adalah pemimpin nombor dua terbaik DAP.

Bagaimanapun, Ka Siong berkata, Kit Siang juga tidak layak berdebat dengannya kerana pemimpin DAP itu adalah orang luar, sama seperti Guan Eng pernah melabelkan Ka Siong juga sebagai orang luar.

“Ingat, anda ‘berhutang’ jawapan dengan rakyat Malaysia,” katanya.

Ketika itu katanya, Guan Eng meminta Ka Siong terlebih dulu bertanding di Parlimen Bagan (kawasan Guan Eng) untuk melayakkannya berdebat dengan Ketua Menteri itu.

“Guan Eng akan berhadapan masalah jika meminta pertolongan luar. Contoh terdekat adalah ayahnya, Kit Siang. Maksudnya, Guan Eng tidak mahu orang luar untuk berdebat dengannya berkenaan isu terowong di negeri itu.

“Selain itu, Guan Eng juga menegaskan kepada saya untuk memberi nama siapa pemimpin kerajaan negeri yang didakwa menerima jutaan ringgit.

“Saya nak ingatkan Guan Eng sekali lagi bahawa menamakan dan mendakwa siapa pegawai terbabit rasuah adalah tugas Suruhanjaya Pilihan Pencegahan Rasuah dan Pejabat Peguam Negara.

“Serahkan kepada mereka bukannya menjadi tanggungjawab saya,” katanya

Berita Harian



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *