Najib terbukti bela penjawat awam

Share

BUKAN berlaku sekali dua tetapi pemimpin-pemimpin dari Pakatan Harapan yang diketuai DAP sering kali menganggap jumlah besar kakitangan awam sebagai membebankankan selain memandang rendah peranan penting golongan berkenaan.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua, pada tahun 2011 pernah menimbulkan kontroversi apabila mencadangkan jumlah penjawat awam dikurangkan dan pada Oktober 2016, badan pemikir Kerajaan DAP Pulau Pinang, Penang Institute juga mengeluarkan pendapat saiz sektor perkhidmatan awam wajar dikurangkan.

Rasa tidak puas hati terhadap penjawat awam baru-baru ini paling ketara ditonjolkan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berhasrat memecat semua pegawai tertinggi kerajaan yang tidak bersama Pakatan Harapan diketuai DAP sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sikap-sikap yang ditonjolkan oleh Pakatan Harapan diketuai DAP ini tidak hanya memperkotak-katikkan maruah penjawat awam malah periuk nasi rezeki ahli keluarga kakitangan juga tidak diletakkan dalam pertimbangan.

Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang teruji dari segi kecekapan pentadbiran dan kestabilan, nasib penjawat awam bakal terumbang-ambing di bawah DAP, PKR, PPBM dan PAN yang hanya mahu merealisasikan hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali menjadi Perdana Menteri walaupun pernah 22 tahun menduduki jawatan itu.

Sebagai perbandingan, tiada pihak yang boleh menafikan perhatian khusus diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap penambah baikan sektor perkhidmatan awam terutamanya segi struktur gaji dan perkhidmatan para kakitangan.

Polisi-polisi dipraktikkan Najib telah banyak mengangkat profesion penjawat awam yang mana sebelum ini dipinggirkan oleh Dr. Mahathir ketika era pentadbirannya yang keterlaluan melaksanakan agenda penswastaan.

Berbanding Pakatan Harapan diketuai DAP yang memperjudikan masa hadapan, nasib penjawat awam sudah terbela di bawah Najib yang tidak pernah gagal memberi penghargaan kepada golongan yang sememangnya memberi sumbangan besar kepada negara. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply