PFP pula cabar Guan Eng berdebat

Share


Ketua Menteri, Lim Guan Eng diingatkan tidak terus bersikap seperti seorang ‘pengecut’ dengan memberikan pelbagai alasan bagi mengelak berdebat mengenai isu terowong dasar laut.

Sehubungan itu, Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Patrick Ooi hari ini turut mencabar Setiausaha Agung DAP itu untuk berdebat berhubung isu tersebut di Restoran Kaffa Sunway Carnival Mall, Khamis ini.

Patrick berkata, Jumaat lalu Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang yang juga Penasihat DAP tidak hadir meskipun dijemput untuk berdebat dengan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Bagan.

“Guan Eng memberi alasan Ka Siong bukan orang nombor satu MCA dan tidak layak berdebat dengannya, tambahan pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak akan bertan­ding di kerusi Parlimen Bagan.

“Jadi, saya ingin mencabar Guan Eng untuk berdebat me­ngenai isu terowong kerana saya orang nombor satu PFP dan saya sanggup bertanding di Bagan sekiranya beliau setuju hadir Khamis ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Patrick, surat jemputan secara rasmi telah dihantar kepada Guan Eng di pejabatnya hari ini dan berharap jemputan itu diterima supaya rakyat mendapat maklumat tepat berkaitan isu itu.

Katanya, beliau juga sedia menerima syarat-syarat yang akan dikenakan oleh Guan Eng asalkan perdebatan itu dapat direalisasikan sebagaimana yang diharapkan.

“Selama 60 tahun DAP ditubuhkan, mereka tidak pernah lari daripada berdebat dan diketahui umum pemimpin mereka berani mengkritik kerajaan, te­tapi Guan Eng sudah malukan DAP Jumaat lalu apabila tidak memenuhi jemputan Ka Siong.

“Guan Eng sendiri ada ruang untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen, tetapi tidak gunakan peluang itu, sebalik­nya DAP hanya buat kucar-kacir di luar Parlimen,” ujarnya.

Utusan



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *