‘Nazak’ Sungguh Bunyinya, Bagai ‘Ikan Emas Tanpa Air’…

Share


Hari ini, warga emas tu menulis lagi. Bunyinya cukup sayu dan kecewa. Bercerita tentang mereka yang berada di zon selesa dan konon tidak peduli tentang derita orang lain. Tidak peduli pada harga ikan kembung yang kini berharga RM20 sekilogram.

Dia seolah-olah bimbang jika tidak ramai yang keluar mengundi pada PRU ke-14 nanti. Cepat-cepat dia meletakkan penanda aras, konon jika 85 peratus yang keluar mengundi, maka Pakatan Harapan akan menang? Cukup beremosi permainan tulisannya.

Dia juga mendakwa PRU kali ini kotor dengan penipuan. Namun agak melucukan apabila pada masa yang sama dia mendakwa pihaknya boleh menang. Padahal logik akalnya jika menipu, jangan haraplah mereka boleh menang 1 kerusi pun. Apa dia fikir zaman ini zaman menipu seperti di zaman dia dulu?

Pada hemat penulis, penulisannya kali ini memberi petanda yang menunjukkan dia tidak yakin bahawa Pakatan Harapan akan menang pada PRU ke-14. Bukan kerana PRU kotor atau penipuan, namun bagaikan ada yang tidak kena pada strategi pakatan pembangkang itu.

Penulis melihat sikapnya agak pelik sejak akhir-akhir ini. Sebagai contoh, selepas pelancaran manifesto Pakatan Harapan, dia terpaksa meluahkan perasaan kepada media negara jiran tentang ketidakpuasan hatinya terhadap butiran manifesto itu.

Dia mengatakan konon dirinya bimbang manifesto itu tidak dapat dilaksanakan. Namun daripada bait-bait ungkapannya, penulis dapat melihat garis-garis tidak yakin dan geramnya. Sebagai calon Perdana Menteri, apa akan berlaku jika dia tidak mampu lunaskan manifesto itu, bukan?

Mungkin dia khuatir ada pihak yang cuba sabotaj dirinya. Sebagai contoh, dia tahu memansuhkan tol itu tidak realistik dan tak mungkin dapat dilaksanakan. Jika dia ditakdirkan jadi Perdana Menteri dan gagal memansuhkan tol, nanti dituduh pula mungkir janji.

Jika dia mansuhkan tol, dia sebagai Perdana Menteri pula yang akan berdepan dengan kegawatan ekonomi negara gara-gara terpaksa membayar pampasan yang sangat tinggi dan mampu menggugat kedudukan kewangan kerajaan.

Pada penulis, dia sedar tentang semua itu. Dia tahu manifesto ‘bulan bintang’ itu hanya retorik populis semata-mata dan sedar diri dia tak mampu tunaikan. Tapi memandangkan ‘nasi sudah menjadi bubur’, maka dia terpaksalah menjadi ‘luncai dengan labu-labunya’…

Mungkin kini akal tuanya sedang merengus hebat, cuba mengatasi keresahan diri. Mungkin kini dia sedang memerah otaknya yang semakin tumpul, tentang suatu yang ‘over promise’ dan menyebabkan lebih ramai masyarakat yang sedar tentang manifesto Pakatan Harapan yang hanya bersifat ‘khayalan indah’.

Jika dia sedang berada di dalam keadaan itu, maka penulis agak bersimpati atas apa yang menimpa dirinya. Sudahlah di penghujung usia, ada pula pihak tertentu yang cuba ‘mendera’ dan licik ‘mengenakan’ dirinya. Anaknya pula bagaikan kata Mahfuz masih ‘blur’, tidak menyedari apa yang berlaku pada bapanya?

Usahlah terlalu retorik dengan ikan kembung RM20 sekilogram kerana rakyat di zaman ini lebih bijak memilih tidak membeli ikan kembung, sebaliknya mencari alternatif yang lebih sesuai mengikut kemampuan diri. Tidak mati jika tidak makan ikan kembung sehari dua. Nanti murah, belilah…

Kenapa dia takut tidak ramai keluar mengundi? Kerana dia baru tahu bahawa pencalonan dirinya sebagai calon Perdana Menteri menyebabkan lebih ramai yang enggan keluar mengundi? Dia baru tahu? Jadi dia fikir rakyat negara ini suka dia jadi Perdana Menteri?

Silap sangat pandangan sedemikian. Bila orang kata usia 93 tahun tidak sesuai, dia fikir orang menyerangnya peribadinya. Tak baik buruk sangka begitu. Orang bercakap soal usia kerana kasihkan dia. Orang tidak tergamak tengok warga terlalu emas sepertinya dibuli sebagai ‘puppet tua’ yang diperkotak-katik oleh mereka yang berdendam padanya.

Dia fikir mereka itu ‘sayang’ dan sudah ‘maafkan’ dirinya? Apakah dia tidak kenal betapa ‘kejam’nya cara dia berpolitik dulu? Dia fikir begit mudah semua itu dilupakan? Jangan silap, dalam senyum mereka boleh kenakan dia cukup-cukup pada pilihan raya kali ini.

Penulis kasihan melihat dia bagai tercungap-cungap dibuli. Belum pun parlimen dibubarkan, tapi dia bagai sudah tinggal ‘suku nyawa’, bagai ikan emas terbiar atas lantai, mulutnya sekejap terbuka, sekejap tertutup. Penulis harap IJN sentiasa dalam keadaan ‘standby’.

Justeru itu, penulis sarankan supaya dia pergilah berehat. Rehatlah sepuas-puasnya. Malu melihat dirinya ‘dibuli’ tanpa sedar di depan anak menantu dan cucu. Daripada terus ‘diseksa’ dan ‘dipijak’ begitu, bersaralah sepenuhnya sementara masa masih ada….



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *