Usaha Memperkasa Pendidikan Negara Perlu Diteruskan…

Share


TERDAPAT lebih daripada 10,200 buah sekolah yang tanggungjawabnya terletak dibahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Mubaligh, Sekolah Orang Asli dan sebagainya.

Dalam pada itu, keseluruhan murid dan pelajar bermula daripada peringkat pra-sekolah hingga menengah adalah kira-kira berjumlah 5 juta orang, manakala jumlah pendidiknya adalah dianggarkan melebihi daripada 450,000 orang guru di seluruh negara.

Sesungguhnya secara keseluruhan warga KPM sememangnya merupakan sebuah keluarga yang sangat besar di mana ia melibatkan hampir keseluruhan semua masyarakat di pelbagai lapisan di Malaysia.

Ekoran itu, KPM juga cukup “kaya” dengan cerita suka dukanya. Ada yang mencetus kontroversi, tidak kurang juga begitu membanggakan.

Kisah seperti murid dipatuk ular, terlibat kemalangan, mengalami bencana, sakit demam dan seumpamnya memang biasa dilaporkan. Begitu juga dengan cerita guru ditumbuk pelajar, guru ditampar ibu murid, malah ada pula bapa yang menyerang guru dengan parang.

Kementerian itu juga berdepan kisah “duka lara” guru yang terpaksa tinggal berjauhan dari keluarga demi tugas, masalah sistem dan aplikasi berasaskan internet, beban guru yang semakin bertambah dan sebagainya.

Malah ada kalanya dalam kesungguhan warga KPM menambah baik setiap kelemahan yang tercetus, ada saja pihak yang mengambil kesempatan mempolitikkan keadaan meskipun isu yang dibangkitkan itu tidak tepat dan sama sekali tidak benar.

Namun begitu, pastinya yang duka itu tidak akan dibiarkan terus berduka. Sebaliknya, pihak KPM dengan kerjasama warga pendidik, ibu bapa dan masyarakat telah berganding bahu bermuafakat bersama untuk mengubahnya menjadi sebuah kisah yang berakhir dengan berita gembira.

Hakikatnya sama ada bersetuju atau tidak, rakyat di negara ini juga cukup berbangga dengan pelbagai lagi kisah manis yang memaparkan kejayaan murid dan pelajar dalam pelbagai aspek sama ada di peringkat akademik atau kemahiran dalam banyak bidang yang begitu mengkagumkan.

Malah begitu banyak kisah-kisah kejayaan pelajar dan guru-guru di dalam negara dan di peringkat antarabangsa sebagaimana yang dilaporkan media, sekaligus menjadi aspirasi yang amat membanggakan di sanubari setiap anak Malaysia.

Kejayaan para pelajar SPM dan STPM yang meningkat seperti yang diumumkan baru-baru ini begitu mengujakan ramai pihak. Malah peluang-peluang yang disediakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi begitu luas terbuka, menjanjikan penyediaan modal insan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Paling menarik, konsep utama yang terangkum dalam matlamat KPM kini sangat memberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah diri pelajar dan tidak hanya berpaksikan kepada pencapaian akademik atau kemahiran semata-mata.

Dalam ertikata lain, pengisian sistem pendidikan di Malaysia kini mampu melahirkan seorang peguam, jurutera atau arkitek yang juga merupakan seorang hafiz Al-Quran yang berakhlak mulia, sekaligus mencakupi kepentingan di dunia dan akhirat.

Perkembangan dunia yang melibatkan Revolusi Industri 4.0 juga dilihat sebagai satu cabaran bagi warga KPM untuk terus menyaingi transfomasi pendidikan di negara ini. Kaedah “cikgu Shaari” perlu berubah kepada kaedah yang lebih berinovasi, kreatif dan kompetatif.

Mendepani segala cabaran berkenaan, KPM mengambil langkah memperkenalkan pelbagai program baharu seperti Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21), Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan banyak lagi.

Selain itu, dalam usaha memantapkan lagi pendidikan generasi akan datang, Mahdzir turut mengambil inisiatif mewujudkan Kolej Tingkatan Enam, pusat-pusat matrikulasi dan kolej-kolej vokasional sebagai pemangkin pendidikan anak-anak bangsa di peringkat yang lebih tinggi.

Perubahan-perubahan tersebut tidak dinafikan merupakan satu cabaran besar bagi warga pendidik di negara ini untuk difahami dan dilestarikan sejajar dengan perlaksanaan dan matlamatnya, demi #kemenjadianmurid.

Meletakkan matlamat “kemenjadian murid” sebagai sasaran utama, KPM yang dikemudi menterinya, Dato’ Seri Mahdzir Khalid terus mengorak langkah demi memastikan masa depan anak bangsa di negara ini terjamin.

Dalam siri Jelajah Pendidikan 2018 peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Parit Buntar semalam, Mahdzir menyatakan komitmen tinggi beliau untuk terus gigih berusaha merancang dan melaksanakan Dasar Pendidikan Nasional 2013-2025 di negara ini.

Berbanding dahulu, usaha Mahdzir memperkasakan bidang pendidikan di negara ini telah mendapat perhatian Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang membuktikan komitmen Kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM45 bilion kepada kementerian itu bagi Bajet 2018.

Susulan daripada keluarga KPM yang besar, difahamkan bahawa sebanyak RM37 bilion dibelanjakan bagi tujuan emolumen dan pengurusan, manakala selebihnya itu akan digunakan sebaiknya bagi tujuan pembangunan pendidikan di negara ini.

Kesungguhan KPM melunaskan amanah menyediakan pembangunan pendidikan juga terbukti apabila memperuntukkan sebanyak RM1 bilion kepada pembangunan infrastruktur pendidikan di Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalamannya.

Keutamaan tersebut dilihat amat perlu oleh Mahdzir yang menyedari tentang tahap infrastruktur serta kemudahan di kawasan-kawasan berkenaan adalah sangat dhaif dan menyedihkan, seolah-olah terpinggir tidak dipedulikan sejak 1970’an lagi.

Tinjauan beliau sendiri di kawasan-kawasan tersebut bermula sejak bergelar Menteri Pendidikan pada lewat 2015 menyaksikan bekas guru itu nekad memperjuangkan masa depan anak-anak bumiputera di sana.

Walau bagaimanapun dalam masa yang sama, Mahdzir juga memberikan perhatian sewajarnya kepada pembangunan bidang pendidikan di seluruh pelusuk negara ini secara holistik dan bersepadu, bersama-sama warga KPM.

Pun begitu, beliau tidak putus-putus mengingatkan kepada seluruh masyarakat tentang kepentingan pendidikan sebagai satu-satunya ramuan paling tepat untuk mengubah masa depan individu, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Mahdzir sering memetik kata-kata Saidina Ali RA yang menegaskan tentang kepentingan ilmu yang terbukti 15 kali lebih penting berbanding harta kekayaan, ianya kini diterjemahkan oleh beliau dan KPM sebagai sebahagian panduan dalam pelaksanaan dasar pendidikan negara.

Sesungguhnya perjuangan murni itu masih belum selesai dan harus diteruskan melalui mandat baharu kepada Mahdzir pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Rakyat Malaysia harus membantu beliau dan kerajaan sedia ada untuk merealisasikan segalanya…


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *