Tuduhan Rafizi sebabkan 3,105 hilang kelayakan tunai haji

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tohmahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli terhadap Tabung Haji (TH) mengakibatkan 3,105 pendeposit akaun hilang kelayakan menunaikan haji.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TH, Datuk Rozaida Omar berkata ia berikutan pendeposit menutup akaun selepas terpengaruh dengan artikel yang disiarkan dalam akaun Facebook milik Rafizi pada 9 Feb 2016.

“Pada tempoh Januari dan Februari tahun 2016, seramai 3,954 pendeposit menutup akaun dan daripada jumlah tersebut seramai 3,105 pendeposit didapati hilang kelayakan menunaikan haji.



“Mereka perlu mendaftar semula sekiranya mereka ingin menunaikan haji dan perlu menunggu tempoh yang lebih lama,” katanya yang dipanggil sebagai saksi perbicaraan kes Rafizi yang didakwa menyiarkan artikel berbaur fitnah terhadap TH.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa bonus yang dibayar Tabung Haji kepada pendepositnya yang melebihi keuntungan dijana pada tahun 2012 dan 2014 bukan bermotifkan pilihan raya.

“Sebarang kecenderungan yang menyatakan bahawa Tabung Haji boleh digunakan sebagai bahan politik menjejaskan reputasi pengurusan Tabung Haji itu sendiri.

“Pengurusan Tabung Haji terdiri daripada pegawai-pegawai yang bertauliah, profesional dan berintegriti, yang telah diberikan amanah untuk menguruskan dana bakal jemaah haji,” katanya.

Terdahulu, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR mengaku tidak bersalah mencemar nama TH dengan menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ pada tiga tahun lalu.

Majistret Umzarul An-Nur Umar menetapkan perbicaraan bersambung pada 4 April.

BNBBC

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.