Tiada guna empangan penuh kalau rumah tiada air – Zaini Ujang

Kedangkalan Azmin terus ditempelak

Tidak kira sebanyak mana air dalam empangan-empangan di Selangor pun tetap tidak berguna kepada rakyat kalau bekalan air terawat tidak sampai ke rumah.

Ketegasan itu dinyatakan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berhubung kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu ‘mencampakkannya’ ke empangan.

Menurut Zaini, Azmin perlu sedar gangguan bekalan air awal bulan ini telah menjejaskan hidup seramai 2.5 juta orang atau 653,000 akaun pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kita sebenarnya meletakkan kebimbangan mengenai sistem bekalan air apabila kita bercakap mengenai margin simpanan air! Ini bukannya mengenai kapasiti pengeluaran di empangan tetapi mengenai air sampai ke rumah pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Mohamed Azmin yang merupakan Timbalan Presiden PKR mahu ‘mencampakkan’ Zaini ke empangan semata-mata mahu membuktikan air di negeri berkenaan mencukupi.

Krisis bekalan air di Selangor pada minggu lalu bagaimanapun merupakan antara terburuk dalam sejarah kerana telah menjejaskan lebih dua juta pengguna di Lembah Klang dan Selangor dengan membabitkan 498 kawasan.

Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menganggarkan gangguan itu mengakibatkan lebih RM100 juta nilai kerugian dialami oleh para peniaga selepas mereka terpaksa menghentikan operasi perniagaan.

Ujar Zaini, krisis air di Selangor sebenarnya boleh dielakkan sekiranya Kerajaan PKR Selangor tidak berlengah-lengah dalam proses penstrukturan semula industri air di negeri berkenaan yang membolehkan sistem perkhidmatan bekalan dinaik taraf.

“Petanda utama margin simpanan kosong di sesebuah daerah adalah apabila berlaku kerosakan loji rawatan atau paip pecah.

“Maka kawasan terbabit akan berterusan mengalami gangguan bekalan air sehinggalah kerosakan tersebut dapat dipulihkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.