Skandal Ijok: Peneroka saman Azmin, kerajaan negeri Rabu ini

Selain Mohamed Azmin dan Kerajaan Negeri Selangor, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) turut akan berdepan tindakan saman pada Rabu ini khususnya melibatkan soal baki 400 daripada 800 hektar milik peneroka yang dijual dan dirampas secara kontroversi oleh kepemimpinan Timbalan Presiden PKR itu.

Peguam yang mewakili peneroka, Datuk Kamarudin Ahmad dalam pada itu mendedahkan, ada pihak tertentu bertindak mengugut pe­neroka agar tidak meneruskan niat menyaman Mohamed Azmin, kerajaan negeri dan MBI atau bakal berdepan kehila­ngan pampasan rumah serta wang tunai yang dijanjikan sebelum ini.

Dakwanya, pihak yang membuat ugutan itu dipercayai adalah mereka dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Bertindak baharu yang dilantik hasil restu kerajaan negeri untuk mewakili pe­neroka walaupun tanpa persetujuan majoriti peneroka di Ijok.



“Kita ada dengar peneroka diugut supaya tidak saman kerajaan negeri atau pampasan mereka akan terjejas.

“Nasihat saya, jangan takut dengan ugutan itu kerana tindakan mahkamah diambil mengikut peruntukan undang-undang dan tidak akan menjejaskan pampasan yang telah dipersetujui,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin memberitahu, setakat ini seramai 113 peneroka yang bersamanya telah bersetuju untuk mengambil tindakan mahkamah dan beliau menjangka jumlah tersebut akan terus meningkat.

“Masih ramai lagi peneroka yang belum jelas tentang isu kerana mereka tinggal di merata tempat termasuk Perak dan Kedah menyebabkan kesukaran untuk menemui mereka,” ujarnya.

Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.