“Saya Tak Lahir Di Bandar. Saya Pun Datang Dari Kampung,” – Mahdzir Khalid

“Saya tak lahir di bandar. Saya pun datang dari kampung,” begitu kata Dato’ Seri Mahdzir Khalid, anak kelahiran Jabi, Pokok Sena, Kedah.

Menurut beliau, kampungnya di era 1970’an dahulu sememangnya belum ada lagi bekalan air dan elektrik, membuatkan beliau kenal benar dengan erti kepayahan hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman Sarawak ini.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia, Mahdzir bertugas sebagai guru di sebuah kampung yang terletak di Beluran, kawasan pedalaman Sabah sebelum berkahwin dengan isterinya, Datin Seri Noraini Abdullah.



Anak-anaknya semua lahir di Sabah. Pada usia 29 tahun, beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Gadong. Rupanya, bertahun-tahun beliau menabur jasa kepada anak-anak kampung di pedalaman Sabah.

Hanya beberapa tahun selepas itu beliau membuat keputusan untuk serius dalam bidang politik dan terpaksa berkorban melepaskan profesyen dalam bidang pendidikan.

Justeru itu, adalah jelas beliau memahami tentang erti kehidupan di sebuah kampung yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti yang dialami oleh warga pendidik yang menabur bakti di kawasan pedalaman Sarawak.

Malah Mahdzir juga sangat memahami tentang kawasan manakah yang perlu beliau beri keutamaan untuk dibantu.

Menurut beliau, perbincangannya dengan bekas Ketua Menteri Sarawak, Almarhum Tan Sri Adenan Satem dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sekolah-sekolah dhaif di luar bandar dan pedalaman Sarawak memerlukan kos yang sangat besar untuk dibangunkan.

Katanya, peruntukan-peruntukan sebelum ini yang diberikan kepada sekolah-sekolah di kawasan berkenaan bukan saja tidak mencukupi, malah hanya mampu menambah baik sebahagian kecil sahaja aspek pendidikan yang dilihat kritikal.

Oleh itu, beliau telah mengambil inisiatif untuk memaklumkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, tentang keadaan dan tahap pendidikan di kawasan luar bandar serta pedalaman di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Hasilnya, Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2018 yang lalu telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi membantu sekolah-sekolah dhaif khususnya di kawasan pedalaman Sarawak.

“Memang tak cukup. Tapi sekurang-kurangnya ia adalah memadai untuk dijadikan langkah pertama bagi membantu sekolah-sekolah dhaif dan memastikan pendidikan anak-anak kita di pedalaman ini lebih terjamin.

Mahdzir juga menegaskan bahawa beliau akan mengubah klausa yang menetapkan syarat hanya sekolah yang mempunyai akses jalan raya sahaja yang akan menerima peruntukan kewangan tersebut.

Menurut beliau, klausa berkenaan adalah tidak wajar bagi sekolah di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses jalan raya namun amat memerlukan peruntukan kewangan untuk pembangunan pendidikan dan sebagainya.

Sehingga kini, terdapat 415 buah sekolah yang dikenal pasti sebagai sekolah dhaif daripada lebih 1,400 buah sekolah yang terdapat di Sarawak. Selain itu, terdapat 250 buah sekolah kurang murid yang mempunyai kurang daripada 50 orang murid di seluruh negeri itu.

Namun begitu, Mahdzir menegaskan bahawa pihaknya tidak mementingkan jumlah bilangan pelajar yang kurang di sekolah-sekolah berkenaan, sebaliknya yang menjadi keutamaan kementeriannya adalah pendidikan para pelajar di negara ini.

Malah tegas beliau, adalah menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk tidak menutup mana-mana sekolah walaupun muridnya hanya sekadar 10 orang, kecuali pihak PIBG setuju dan menyokong untuk sekolah itu ditutup.

Pun begitu, Mahdzir menyeru supaya sekolah-sekolah di pedalaman ini supaya tidak patah semangat untuk lebih menonjol dalam bidang pendidikan kerana terbukti terdapat sebuah sekolah di Baram yang berjaya mengharumkan nama negara.

Menurut beliau, dua orang guru dan dua orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Long Spiling, Baram, sebelum ini “terbang” ke Tokyo, Jepun untuk menyertai satu pertandingan video pendek peringkat antarabangsa, anjuran syarikat Panasonic.

Membawa sebuah video muzikal pendek dalam bahasa Iban bertajuk “kekuatan tangan”, mereka telah berjaya menjuarai pertandingan tersebut yang turut disertai oleh 89 buah negara dari seluruh dunia.

“Sangat menakjubkan, mereka menjadi johan daripada 89 buah negara yang mengambil bahagian,” katanya memberi semangat kepada guru-guru di daerah Kapit, pedalaman Sarawak.

Selain itu, Mahdzir turut meminta supaya pihak pentadbir sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun kementerian di Putrajaya untuk terlalu mengikut budaya “mesyuarat” bagi membuat keputusan mudah seperti keperluan pelajar di asrama.

“Kita tengok sendiri dengan mata kepala kita hal yang berkaitan dengan asrama. Berapa ramai murid, berapa yang diperlukan, katil berapa, tilam berapa, kira berapa.

“Balik beli sajalah, tak payah nak meeting-meeting lagi,” katanya, sambil disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada guru-guru pedalaman Kapit.

Pada hemat penulis, usaha yang sedang dilakukan Mahdzir sejak dilantik sebagai Menteri Pendidikan itu sewajarnya perlu dipuji. Sama ada berpihak kepada kerajaan BN mahupun pembangkang, jelas bahawa usaha murni ini sewajarnya mendapat kerjasama dan sokongan daripada semua pihak.

Sememangnya amat tepat keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri untuk melantik beliau sebagai Menteri Pendidikan kira-kira 3 tahun lalu kerana beliau lebih memahami dunia pendidikan di negara ini.

‘Hanya jauhari yang mengenal manikam’, hanya guru sahaja yang tahu dan memahami tentang keperluan bidang pendidikan. Tahniah Mahdzir atas usaha memartabatkan pendidikan dan memastikan ‘kemenjadian murid’ yang lebih praktikal serta realistik.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.