Mahdzir Menyusuri Cabaran Warga Pendidikan Di Pedalaman Bumi Kenyalang

Pendidikan merupakan kaedah paling berkesan untuk merubah nasib dan masa depan anak bangsa, itulah yang ditegaskan oleh Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid, di depan anak-anak Baleh yang tinggal di pedalaman Kapit, Sarawak, baru-baru ini.

Penulis sebenarnya diberi kesempatan untuk berkunjung ke pedalaman Kapit, meninjau sendiri tahap pendidikan di persisir Sungai Baleh. Dari Sibu, ia mengambil masa selama 3 jam untuk ke Kapit dengan menaiki bot ekspres. Manakala untuk ke Baleh pula, ia memakan masa hampir 4 jam dari Kapit.

Bukan kepalang sukarnya untuk ke Baleh. Tiada akses jalan raya untuk ke Kapit melainkan jalan balak, jalan air atau udara. Tapi menurut orang Kapit, jalan raya yang menghubungkan Sibu dan Kapit dijangka siap pada 2019.

Siapa yang membinanya? Siapa lagi kalau bukan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak. “Jalan Kapit-Song-Kanowit-Sibu sepanjang 102 kilometer, dengan kos sebanyak RM 800 juta, adalah bertujuan untuk membina akses jalan darat kepada pedalaman Sarawak dengan dunia luar,” itu yang diumum beliau pada 2016.

Perjalanan ke Baleh lebih mencabar sebenarnya. Dalam perjalanan, penulis berselisih dengan beberapa tongkang yang karam, menandakan sungai yang menjadi laluan utama ke pedalaman Kapit itu agak merbahaya. Ia menyebabkan ramai yang tidak berani menggunakan akses laluan air itu menjelang senja. Kawasan pedalaman terputus hubungan selepas itu.

Menjejakkan kaki di bumi Baleh, menghadirkan seribu ketenangan di jiwa penulis. Di kelilingi bukit-bukau yang menghijau, penulis disambut mesra orang Baleh di Sekolah Menengah Kebangsaan Baleh, sekolah paling ‘advance’ di pedalaman Kapit.

Zahirnya sekolah itu kelihatan seperti tiada sebarang masalah. Terdapat bangunan yang tersergam termasuk bangunan dua tingkat yang dijadikan kelas dan pejabat, beberapa bangunan lama yang dijadikan makmal kecil, asrama, kuarters guru dan rumah pengetua.

Namun hakikatnya, SMK Baleh sengsara akibat tiada kemudahan asas. Bekalan airnya hanya dari sumber bawah tanah dan air hujan sahaja, tiada air terawat. Bekalan elektrik pula bergantung sepenuhnya pada set generator yang tidak dapat memberikan kemudahan itu untuk 24 jam. Minyak terpaksa dicatu…

Berada di Baleh pedalaman Kapit ini menyebabkan penulis sedikit sebanyak dapat menyelami kepayahan yang dialami warga pendidik, khususnya guru-guru yang menggalas amanah mendidik anak bangsa di kawasan pedalaman di Bumi Kenyalang ini.

Di sini terdapat beberapa orang guru dari Kelantan dan Perak yang lebih empat tahun menabur bakti di bumi Baleh. Betapa mereka berkorban diri, sanggup berpisah jauh daripada keluarga dan hidup terpencil dalam keadaan yang serba-serbi kekurangan demi menggalas tugas yang diamanahkan. Dalam kepayahan itu jugalah mereka berjuang memberikan yang terbaik kepada anak-anak Baleh.

Menariknya, luahan rasa guru-guru berkenaan begitu tenang didengar Mahdzir. Beliau sedia mendengar rintihan dan permintaan guru-guru berkenaan. Sekurang-kurangnya, beliau sudi bertemu dan mendengar suara hati mereka…

Rasa hormat penulis begitu tinggi kepada guru, khususnya yang berasal dari Semenanjung yang enggan ditukar dan sanggup kekal di pedalaman Kapit ini. Ada yang sudah lebih dari 15 tahun dan ada pula yang hampir mencecah 20 tahun menabur bakti di sini.

Tidak dinafikan ada yang baru bertugas tidak sampai setahun dua, namun sudah meminta untuk ditukar kembali ke Semenanjung. Namun begitu, penulis begitu tertarik dengan seorang guru dari sebuah negeri di Semenanjung yang bersungguh meminta supaya ditukarkan semula ke Baleh!

Menurut pegawai KPM, guru lelaki itu pernah ditugaskan di SMK Baleh namun ditukar balik ke salah sebuah sekolah di tempat asalnya. Permohonan itu disambut Mahdzir dengan senyuman. Sebagai seorang bekas guru di kawasan pedalaman Sabah, penulis yakin Mahdzir begitu memahami komitmen tinggi guru muda itu.

Jika berkesempatan, penulis akan cuba mendapatkan guru muda itu untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisahnya dalam tempoh terdekat.

Apa yang penulis perhatikan, warga SMK Baleh sangat menghargai apa yang dibina oleh Kerajaan untuk mereka. Persekitaran sekolah itu sangat bersih. Mulanya penulis fikir ianya bersih mungkin disebabkan ia bakal menyambut kehadiran Pak Menteri.

Tapi bila penulis gunakan tandasnya, maka terbukti, bersihnya bukan dibuat-buat. Memang tandasnya bersih, tidak seperti tandas di sekolah-sekolah di bandar yang terkenal tidak terjaga dengan baik. Betapa mereka amat menghargai suatu yang diberikan kerajaan.

Hanya SMK Baleh sahaja yang ada kemudahan internet sebenarnya. Hadiah CSR daripada sebuah syarikat swasta memberikan anak-anak Baleh mempunyai akses internet 10 Mbps. Namun malang, akses itu hanya dinikmati apabila ada bekalan elektrik. Bagaimana hendak hidupkan komputer jika tiada bekalan elektrik?

Dalam kesempatan itu, Mahdzir turut menyapa mesra Khalid dan rakan-rakannya. Siapa Khalid? Khalid merupakan antara pelajar tingkatan satu yang sanggup berpisah dari keluarganya yang tinggal jauh nun di kawasan yang lebih terpencil. Untuk datang ke sekolah, Khalid terpaksa menempuh risiko bahaya dan perjalanannya mengambil masa dua hari dari kampung halaman.

Selain itu, penulis tertanya-tanya tentang satu persoalan. Sejak dibina kira-kira 32 tahun dulu, mengapa tidak ada seorang pun Menteri Pendidikan yang sudi datang ke SMK Baleh, selain Mahdzir? Walau dirayu oleh Ahli Parlimen dan Adun di situ, tiada yang sanggup menjejak kaki ke pedalaman Kapit.

Setahu penulis, ‘warga emas’ itu pernah menjadi Menteri Pelajaran sebelum jadi Perdana Menteri. Dua bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga pernah menjawat jawatan Menteri Pelajaran (kini Kementerian Pendidikan). Namun begitu, tidak seorang pun daripada mereka yang sanggup menjejak kaki di bumi Baleh?

Namun mujurlah ada seorang anak kampung Kerasak di Padang Terap, Kedah, yang diangkat Allah menjadi Menteri Pendidikan. Beliaulah Menteri Pendidikan yang sudi mendengar jeritan suara hati orang Baleh. Mungkin kerana itu beliau begitu disambut meriah semalam!

Mungkin kerana pernah bergelar guru dan bertugas di Beluran, salah sebuah daerah di pedalaman Sabah, Mahdzir begitu memahami tentang keperluan masyarakat di pedalaman Borneo ini yang seolah kurang dipeduli oleh bekas Perdana Menteri dan Timbalan-Timbalannya yang pernah bergelar Menteri Pelajaran dulu.

Mahdzir tidak kekok bersama orang Baleh. Sikapnya yang bersahaja begitu disenangi penduduk tempatan. Menurut wakil rakyat, PIBG, guru-guru dan penduduk di situ, beliau merupakan Menteri Pendidikan Malaysia pertama yang sudi menjejakkan kaki di bumi Baleh. Bukan kepalang gembiranya mereka menyambut kehadirannya.

Mahdzir sejak diberi amanah oleh Perdana Menteri untuk mengemudi Kementerian Pendidikan dikatakan lebih cenderung untuk menangani masalah-masalah yang sering menjadi rungutan warga pendidik mahupun pelajar. Produk ‘duka lara’ dan pendekatannya yang meringankan beban guru mendapat pujian ramai.

Ternyata, kehadirannya semalam di Baleh memberikan nafas baru pada anak-anak tempatan. Banyak masalah yang beliau selesaikan. Dewan baru yang tiada dinding, akan berdinding tidak lama lagi, capaian internet SMK Baleh dan sekolah di sekitar pedalaman Kapit juga diberi keutamaan.

Paling penting, kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik yang sempurna juga mendapat perhatian beliau. Tidak ‘menjual retorik politik’, beberapa pengumuman Mahdzir membuat warga Baleh tersenyum meleret gembira, berterima kasih padanya.

Mahdzir menjelaskan tentang amanah Dato’ Seri Najib Tun Razak padanya. Peruntukan daripada Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini menghadiahkan sebanyak RM1 bilion untuk kepentingan sekolah-sekolah dhaif di pedalaman Sarawak, tidak terkecuali SMK Baleh.

Sememangnya sebarang penambahbaikan untuk sekolah-sekolah di kawasan pedalaman Sarawak ini memerlukan pembiayaan yang tinggi. Jangan terkejut jika harga barang yang kita beli di bandar Sibu akan jadi berganda-ganda harganya bila tiba di Baleh.

Menurut beberapa pegawai tempatan yang ditemubual, kos petrol bagi kegunaan set generator misalnya akan meningkat tinggi berbanding harga asalnya. Ia adalah disebabkan kepayahan membawa bekalan petrol ke Baleh. Ianya berisiko, agak merbahaya dan jauh terpencil tanpa akses jalan raya, serta bergantung kepada jalan air semata-mata. Banyak tongkang yang sudah karam, buaya pun boleh tahan bilangannya!

Apa yang menarik, penulis sendiri mengekori rombongan beliau di asrama sekolah. Melihat asrama sekolah mereka, penulis benar-benar terkejut. Sebagai seorang yang pernah tinggal di asrama, belum pernah lagi penulis lihat katil pelajar berlapikkan papan, almari pun hasil tangan sendiri? Penulis tidak pasti apakah pelapik tidur mereka itu layak dikatakan sebagai ’tilam asrama’. Dhaif sungguh!

Mahdzir yang turut membawa ‘pasukan’ KPM dari Putrajaya segera mengarahkan para pegawainya menambahbaik tempat tinggal pelajar SMK Baleh. Maksudnya tidak lama lagi, maka barulah anak-anak Baleh itu akan menikmati kemudahan yang sebelum ini kurang dipeduli sesiapa…

Yang peliknya, meskipun hidup di dalam keadaan yang serba kekurangan, langsung tidak terpancar ketidakpuasan hati di kalangan pelajar yang penulis temubual di SMK Baleh. Bahkan mereka begitu berterima kasih dengan apa yang ada di sekolah mereka.

Apa yang memikat hati penulis ialah sikap para pelajar di situ. Mereka sangat sopan, menghormati guru, berbudi bahasa dan sangat bersemangat menimba ilmu. Apatah lagi berdepan dengan tetamu luar seperti penulis, suara mereka begitu ‘mahal’ sekali.

Ditemani guru, penulis ada bersembang serba sedikit dengan pelajar SMK Baleh. Rupanya mereka semula jadinya berbudaya begitu. Begitu lemah lembut, pemalu, namun tegar dahagakan ilmu pengetahuan. Mereka mahu mengubah nasib dan masa depan mereka.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Maka tidak hairanlah mereka sanggup berpisah dan berjauhan dari keluarga masing-masing yang jauh di pedalaman sana dan tinggal di asrama SMK Baleh. Demi ilmu yang bakal merubah kehidupan yang lebih baik, mereka sanggup. Itu antara jawapan yang membuat penulis kagum pada anak-anak Baleh, sungguh!

Jujur dan ikhlasnya, penulis kagum dengan orang Baleh di pedalaman Kapit ini. Biar sesukar mana pun, ‘agi idup, agi ngelaban’. Mereka begitu dahagakan pembangunan yang bagai dinafikan sebelum ini. Dalam masa yang sama, mereka meletakkan pendidikan sebagai satu keutamaan dalam hidup.

Padanlah nama ‘warga emas’ dan ‘konco-konco’nya seolah-olah kurang di senangi di Kapit ini. Sebaliknya, nama ‘Najib’ dan ‘Mahdzir’ pula yang disebut-sebut, disanjung tinggi. Bukanlah berniat untuk memuji, datanglah ke Baleh, Kapit, dan dengar sendiri apa kata mereka…

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.