Lim Guan Eng ‘kecut’berdebat dengan Ka Siong

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disifatkan sebagai seorang pengecut kerana beberapa kali menolak ‘ajakan’ Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong untuk berdebat mengenai kontroversi projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, Guan Eng menggunakan alasan tidak mahu merendahkan martabat jawatan Setiausaha Agung DAP yang disandangnya dengan menyahut cabaran debat oleh pemimpin nombor dua MCA, sedangkan beliau sebelum ini beberapa kali telah mencabar Menteri UMNO yang hanya memegang jawatan parti biasa untuk berdebat.

“Namun, apabila Ka Siong menegaskan bahawa Guan Eng sebelum ini juga pernah mencabar pemimpin yang lebih rendah jawatannya untuk berdebat, tanpa malu-malu, Guan Eng kemudiannya mendakwa bahawa beliau lebih suka berbahas dengan menteri dari UMNO kerana UMNO memegang lebih banyak kerusi di parlimen.

“Sejak bila DAP memilih untuk membahaskan isu-isu keprihatinan awam atas dasar peribadi atau parti? Hal ini menunjukkan bahawa ketua menteri itu tidak konsisten dengan pendiriannya dan jelas takut untuk menerima ajakan debat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri beberapa kali mencabar Guan Eng untuk berbahas mengenai projek terowong dasar laut yang mencetuskan kontroversi dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM).

Projek bernilai lebih RM6 bilion itu disiasat berikutan kos kajian keboleh­laksanaan yang didakwa terlalu tinggi selain skandal penyelewengan yang didakwa melibatkan syarikat kontraktor dan pemaju utamanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.