HUTANG NEGARA DAN AIR SELANGOR

MINGGU lepas di Parlimen, Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata masalah air di Selangor adalah tidak kritikal berbanding hutang negara.

Mohamed Azmin mungkin keliru berkenaan hal ekonomi. Apabila melihat hutang, kita perlu lihat pendapatan. Lebih besar pendapatan, lebih besar kemampuan berhutang.

Orang kata, besar periuk, besarlah keraknya. Hutang negara kini adalah jauh lebih rendah berbanding banyak negara lain.

Contohnya, Jepun mempunyai hutang lebih 100 peratus daripada pendapatan (KDNK) sejak berdekad lamanya namun ekonominya tetap stabil kerana mempunyai rizab yang tinggi dan kadar hutang luar negara yang rendah.

Keadaan ini sama seperti Malaysia malah lebih baik sebab kadar hutang adalah separuh atau 50 peratus daripada KDNK. Hutang tidak semestinya tidak baik.

Hutang yang tidak baik ialah hutang untuk menunjukkan kemewahan. Hutang jenis ini tidak mendatangkan pendapatan tambahan, malah faedah yang dibayar hangus begitu sahaja.

Namun hutang yang baik adalah hutang untuk pelaburan yang mana pendapatan diperoleh melebihi kadar faedah atau kos hutang. Sememangnya hampir kesemua hutang ada kosnya, sama ada dalam bentuk faedah atau kos pinjaman.

Namun, sekiranya pendapatan daripada pelaburan hutang itu lebih daripada bayaran faedah, maka kita akan mendapat untung. Tidak masuk akal jika kita berhutang untuk membuat pelaburan yang mana pendapatannya adalah kurang daripada nilai faedah.

Tiada bank mahu membiayai pelaburan yang tidak berdaya maju. Jika kita tidak berhutang dan tidak membuat pelaburan pula, kita tidak akan dapat apa-apa.

Ini merugikan rakyat kini dan pada masa hadapan. Dalam kewangan peribadi pun, kita biasanya tidak menggunakan tunai untuk membeli sesuatu yang signifikan seperti kenderaan atau rumah walaupun kita ada cukup tunai.

Ini kerana tunai boleh digunakan untuk simpanan atau pelaburan lain. Hampir kesemua hutang negara kini adalah untuk membuat pelaburan terutamanya pelaburan infrastruktur untuk masa depan.

Dan pelaburan ini mendatangkan keuntungan kepada rakyat sama ada dari segi pulangan kewangan terus atau dari segi limpahan sosio-ekonomi.

Jika kita tidak berhutang, kita menghadapi kekangan untuk membangunkan infrastruktur. Jika kita ingin menunggu sehingga kita ada tunai mencukupi untuk membina infrastruktur, ia akan memakan masa lama dan mungkin tidak banyak infrastruktur yang dapat kita bina.

Mohamed Azmin mendakwa bahawa hutang kita di tahap kritikal. Ini suatu auta. Fakta dan kajian ekonomi oleh institusi-institusi dunia seperti World Bank, IMF, agensi penarafan antarabangsa dan sebagainya membuktikan sebaliknya.

Mengalih perhatian

Mohamed Azmin sebenarnya cuba mengalih perhatian menggunakan isu hutang negara daripada masalah yang lebih besar iaitu isu air Selangor. Beliau berkata masalah air di Selangor adalah tidak kritikal. Namun demikian, fakta menunjukkan sebaliknya.

Lebih separuh daripada masalah terputus bekalan air di Malaysia ini berlaku di negeri Selangor. Menurut Persatuan Air Malaysia, Selangor mengalami 259,000 kes terputus bekalan air berbanding sebanyak 416,000 kes di seluruh negara pada tahun kebelakangan ini.

Walaupun terdapat kes terputus bekalan air di negeri-negeri lain, ia tidaklah seteruk di Selangor yang berlipat kali ganda teruknya sehingga berjuta rakyat terputus bekalan air selama hampir seminggu.

Di Pahang, negeri yang lebih besar dari Selangor, kejadian terputus bekalan air adalah sebanyak 2,000 kes, seratus kali ganda lebih kecil daripada Selangor.

Dan masalah air di Selangor ini bukan sahaja menyusahkan rakyat untuk mengangkut air bila terputus. Ia juga mendatangkan masalah serius iaitu masalah kesihatan awam.

Akibat daripada kegagalan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor menguruskan bekalan air dan melambat-lambatkan penstrukturan semula industri air, sistem air di Selangor ini telah tidak diselenggara secukupnya sejak sepuluh tahun yang lalu.

Paip-paip bekalan air yang berpuluh tahun usianya tidak diganti, selalu pecah dan berkarat.Buktinya banyak kejadian terputus bekalan air akibat paip pecah.

Setiap kali paip pecah, kekotoran dan tanah masuk ke dalam sistem air yang menyebabkan air berkeladak dan keruh. Dan apabila paip pecah di sana sini di Selangor sebanyak beribu kali setahun, jumlah keladak dan kekotoran yang masuk ke dalam sistem bekalan air boleh dibayangkan banyaknya.

Loji rawatan air yang tidak diselenggara secukupnya memburukkan lagi keadaan ini. Sebab itu sebahagian rakyat Selangor memasang sistem penapis air di rumah, kerana tahu air di Selangor ini tidak berapa bersih.

Namun bagi orang yang tidak berkemampuan untuk memasang penapis air sendiri di rumah, mereka terpaksa meminum air yang tidak berapa bersih ini yang mempunyai kadar keladak atau mineral tanah tinggi.

Menurut kajian World Health Organization (WHO), 80 peratus daripada penyakit manusia di negara membangun adalah berpunca daripada air.

Dalam jangka masa sederhana atau panjang, meminum air yang tercemar dari sistem bekalan tidak diselenggara akan menjejaskan kesihatan awam dengan penyakit organ dalaman, penyakit saraf, tulang dan sebagainya terutama kepada kanak-kanak, bayi dan juga warga emas.

Buat apa air percuma tetapi air selalu tiada? Dan bila air ada pun, ia kotor berkeladak dan mendatangkan penyakit.

Walaupun mengutip cukai negeri yang berlipat kali ganda hingga berbilion nilainya hanya menyebabkan kenaikan harga rumah dan kos sara hidup di Selangor. Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan kini masih 
gagal menyelesaikan masalah asas air selepas sepuluh tahun memerintah.

Berbanding hutang negara, air adalah isu asas. Orang boleh hidup dengan hutang bertahun-tahun, tetapi tidak boleh hidup tanpa air seminggu. Mohamed Azmin bukan sahaja keliru dengan isu ekonomi dan kewangan apabila menaikkan 
cukai negeri berlipat kali ganda kepada rakyat Selangor, namun beliau juga tidak cekap menguruskan keperluan asas rakyat seperti air.

Akibatnya rakyat terpaksa menanggung derita kerana masalah air dan kos sara hidup yang tinggi di Selangor. Ini perlu diperbetulkan segera.

Isham Jalilu
Penulis adalah Presiden Sukarelawan Malaysia. Beliau adalah anak Selangor dan pernah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Utusan

2 thoughts on “HUTANG NEGARA DAN AIR SELANGOR

  • March 18, 2018 at 6:57 PM
    Permalink

    betul kata penulis manusia boleh hidup bukan saja berhari-hari malah berbulan-bulan sampai bertahun-tahun bila berhutang tapi musibat anak haram azmin boleh pulak tunjuk bangang kata hutang negara adalah kritikal sedangkan ketiadaan air yang sebenarnya kritikal kepada manusia kerana air merupakan keperluan utama & teramat penting untuk kehidupan seharian…cuba rakyat putuskan bekalan air rumah musibat anak haram azmin ni, lori tangki air pulak kena berhenti jauh jangan berhenti depan rumah musibat anak haram ni, tengok dia rasa menyusahkan & kritikal atau tidak

    Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.