Azmin senyap macam ‘masuk gua’

Jika sesebuah pasukan bola sepak tewas dalam keadaan yang memalukan, penyokong mereka akan disindir ‘masuk gua’ dan hilang dari radar buat sementara waktu untuk mengelak daripada diejek pasukan lawan.

Berbeza dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, setelah ‘disenyapkan’ dengan syarahan pengurusan air oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, bukan penyokong beliau sebaliknya beliau sendiri yang ‘masuk gua’ kerana sehingga ke hari ini masih tiada kenyataan balas yang diberikan.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri Selangor, Azman Azeez berkata, Azmin seharusnya segera keluar dari ‘pertapaan’ dan mengakui kesilapannya dalam mentadbir urus hal ehwal air di negeri tersebut.

Menurutnya, sebagai seorang Menteri Besar yang berkhidmat untuk rakyat, beliau seharusnya bermuhasabah dan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan sesegera mungkin demi keselesaan rakyat.

“Cukup-cukuplah berdolak-dalih. Jika diteliti, setiap kenyataan yang diberikan Azmin bersifat umum dan tidak berfokus.

“Yang sering dibangkitkan adalah isu kemalangan sedangkan itu bukan isu utama. Isu yang paling utama adalah pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan penstrukturan semula industri air di Selangor yang perlu diselesaikan segera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.