Air Selangor : Kerajaan Negeri perlu bertanggungjawab

oleh Salleh Buang

Air : Bukan Salah Kerajaan Pusat

AIR adalah keperluan asas kehidupan – bagi ma­nusia, haiwan dan tum­buhan. Malangnya, per­khidmatan bekalan air boleh dijadikan isu politik dan me­nimbulkan konflik undang-undang.

Di Malaysia (dengan 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan), masalah bekalan air hanya wujud di Kelantan dan Selangor. Waktu ini masalah air di Kelantan tidak diperkatakan lagi tetapi masalah air di Selangor terus menjadi kritikal.

Seorang sahabat (pesara kerajaan berusia 70-an) berpendapat, andainya masalah di Selangor ini tidak dapat diselesaikan segera, tidak mustahil ia boleh membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14). “Kesabaran rakyat ada hadnya”, katanya kepada saya.

Presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini ada berkata bahawa kerajaan Selangor perlu segera menyelesaikan kerja penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air di ne­geri itu. Pastinya ia mampu berbuat demikian kerana negeri itu adalah yang ‘paling maju’ di negara ini.

Beberapa pihak yang pakar dalam isu ini menyatakan bahawa andainya isu penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air di Selangor ini tidak diselesaikan, ia akan menimbulkan dua kesan negatif – pertama, bekalan air di negeri itu tidak dapat dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Akta Industri Bekalan Air 2006 (Akta 655) untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air, dan kedua, kerajaan negeri tidak boleh mendapatkan bantuan kewangan untuk membangunkan infrastruktur aset air dari Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Dua kesan negatif ini akan akhirnya memberi kesan buruk jangka panjang kepada kualiti dan kuantiti bekalan air kepada penduduk negeri itu.

Akta 655 mengandungi perun­tukan mengenai kawal selia per­khidmatan bekalan air dan pembetungan serta perkara lain ber­kaitan. Terdapat empat bidang utama kawal selia yang di­sebutkan dalam akta ini, iaitu kawal selia ekonomi (pelesenan, keperluan operator mengemukakan maklumat, sistem bekalan air serta sistem pembetungan), kawal selia teknikal (merangkumi standard prestasi dan teknikal operator perkhidmatan), ka­wal selia sosial (penubuhan dana Kumpulan Wang Industri Air dan Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan serta penubuhan Forum Air) dan kawal selia perlindungan pengguna (kualiti perkhidmatan, mekanisme penyelesaian masalah, aduan pengguna serta penetapan kadar tarif).

Menurut Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan, krisis air yang menyebabkan hampir 100,000 penduduk di Lembah Klang menderita sepanjang minggu lalu berpunca daripada keengganan kerajaan negeri Selangor melaksanakan projek Langat.

Katanya, kerajaan negeri sepatutnya mempunyai pelan khusus menangani masalah air di negeri itu jika tidak setuju dengan usaha penyelesaian yang ingin dilakukan Kerajaan Pusat.

“Kami kesal apabila kerajaan negeri seolah-olah menidakkan kebenaran walaupun pakar-pakar, syarikat konsesi air dan pihak terlibat telah mengeluarkan ke­nyataan bahawa masalah ini perlu ditangani segera dan cadangan Projek LRA Langat 2 dapat me­ngatasinya,” tegasnya lagi.

Masalah bekalan air di Sela­ngor sebenarnya adalah satu cerita lama. Bagi penduduk negeri itu, apa yang mereka harapkan adalah masalah ini akan beransur-ansur diatasi dan diselesaikan. Malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Enam tahun lalu, akhbar ini telah pun mendedahkan punca krisis air di Selangor dengan me­nyatakan bahawa ‘krisis bekalan air yang melanda beberapa daerah di Selangor berpunca daripada keengganan kerajaan ne­geri melulus dan melaksanakan projek-projek bagi menambah bekalan air terawat yang semakin berkurangan’ (Kerajaan Selangor punca krisis air, Utusan Malaysia, 18 Julai 2012).

Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Teknikal Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pada masa itu, Ir. V. Subramaniam mengakui kerajaan negeri itu menghalang pembinaan Loji Rawatan Air Su­ngai Langat 2 (Langat 2) yang sangat diperlukan bagi mengatasi masalah kekurangan air terawat di negeri ini.

Katanya, Menteri Besar Sela­ngor (pada masa itu) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga bertindak mengelirukan orang ramai dengan mengatakan bekalan air mentah di empangan sedia ada mencukupi, malah melimpah-ruah. Subramaniam menjelaskan bahawa krisis air Selangor melibatkan kekurangan air terawat, bukannya bekalan air mentah.

Beliau juga menolak kenyataan Abdul Khalid yang menyalahkan Syabas sebagai punca berlakunya krisis kekurangan air di negeri tersebut kerana ‘tidak mengikut perjanjian konsesi’.

Menyifatkan dakwaan Abdul Khalid itu sebagai tidak berasas dan tidak benar sama sekali, Subramaniam menegaskan kerajaan negeri yang sepatutnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya kerana ia menghalang pembinaan Langat 2. Disebabkan keengganannya itu, Syabas tidak berupaya melaksanakan kerja-kerja mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan tidak mampu membaik pulih serta menaik taraf aset bekalan air yang sedia ada.

Kesimpulannya, krisis air di Selangor bukan disebabkan kelemahan atau ketiadaan undang-undang atau ketidakseriusan Putrajaya menyelesaikan masalah kehidupan yang melibatkan sebahagian besar penduduk negara ini.

Yang menjadi punca masalah ini berlarutan adalah pucuk pimpinan negeri itu sendiri. Krisis ini wujud dalam zaman Menteri Besar dahulu dan berterusan dalam zaman Menteri Besar sekarang.

Sepatutnya apabila pemimpin berdepan dengan masalah rak­yat, mereka tidak lagi membuang masa mencari salah siapa. Sebaliknya duduk semeja membina muafakat dengan kawan dan lawan, mencari ikhtiar bagaimana masalah rakyat itu boleh diatasi dan diselesaikan segera.

Pak Tua pernah berpesan – The difference between a politician and a statesman is that the former thinks of the next election whilst the latter thinks of the next generation. Betul kata Pak Tua itu.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi 
Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

UTUSAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.