Dakyah dibuat Mahathir tidak boleh dihadam

Share


Memang tidak boleh dihadam apabila melihat seorang bekas Perdana Menteri yang pernah memimpin selama 22 tahun telah berubah 360 darjah mentohmah ketelusan sistem demokrasi di negara ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad yang begitu rancak mempertikai kelulusan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya, mungkin ‘terlupa’ bahawa ketika eranya, perkara itu telah tiga kali diluluskan di Parlimen, yakni tempat yang sama beliau kini labelkan sebagai ‘Parlimen sandiwara’ dan ‘Parlimen main-main’.

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusof berkata, Dr. Mahathir bagai kecelaruan apabila menggunakan tohmahan-tohmahan politik yang sering kali digunakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahupun Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Anwar Ibrahim sepanjang 22 tahun era pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.

Ujarnya, tidak sahaja menerusi jentera pentadbiran, Dr. Mahathir sebelum ini berusaha sehabis boleh menangkis dakwaan sistem demokrasi di negara ini tidak telus melalui pelbagai cara termasuk penulisan.

“Waktu beliau dahulu sebanyak tiga persempadanan semula telah dilaksanakan. Kalau Dr. Mahathir berkata Parlimen hari ini adalah Parlimen sandiwara atau main-main, sama jugalah Parlimen zamannya.

“Saya melihat beliau sebenarnya sedang menyediakan alasan jika Pakatan Harapan pimpinan beliau kalah. Sebab itu asyik bangkitkan isu kerajaan akan menipu dalam pilihan raya sedangkan beliau sebelum ini melalui pelbagai tulisan banyak kali menafikan tuduhan bahawa perjalanan pilihan raya di Malaysia ini tidak adil,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, ketika berucap di Jelajah Pakatan Harapan di Kangar, Perlis, Pengerusi PPBM itu yang jelas tidak berpuas hati mengenai laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya melepaskan kemarahannya dengan memperlekeh sistem Parlimen Malaysia apabila menyifatkannya sebagai ‘Parlimen sandiwara’ dan tempat main-main.

Terdahulu, kelmarin, calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu membuat tuduhan yang sememangnya tidak masuk akal apabila mendakwa peti undi pos akan disorok dengan undi palsu bagi memberi kemenangan kepada BN dalam PRU-14. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *