Pakatan Harapan bagai ‘hantu makan dedak’



Sebaran :

Amat aneh melihat gelagat DAP dan sekutunya yang gelisah melampau-lampau akibat pembentangan usul laporan kajian semula persempadanan pilihan raya seolah-olah langkah tersebut adalah penamat kepada karier politik mereka.

Selain ibarat kera kena belacan, kegelisahan mereka ini boleh digambarkan dengan peribahasa bagai ‘hantu makan dedak’ yang bermaksud seseorang yang bersungut-sungut tanpa sebab yang kukuh.

Hal ini kerana kajian semula persempadanan pilihan raya adalah amalan lazim dalam sebuah negara demokrasi, terutamanya dalam sebuah negara yang mengalami pertambahan dan pergerakan penduduk yang rancak akibat proses pembandaran.



Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, kajian semula persempadanan pilihan raya dibuat bukanlah atas faktor politik, sebaliknya atas dasar keperluan melihat kepada perubahan demografi penduduk pada masa kini.

Menurut beliau, kali terakhir persempadanan semula dilakukan di Semenanjung Malaysia adalah pada tahun 2002, iaitu 16 tahun yang lalu.

“Saya tidak lihat langkah ini sebagai satu strategi daripada parti pemerintah untuk mengekalkan kuasa kerana ia dibuat atas faktor keperluan.



“Kita sudah terlalu lama tidak lakukan kajian semula, malah dalam tempoh itu sudah ada tiga Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Usul laporan kajian semula persempadanan pilihan raya yang dijadualkan dibentang pukul 11.30 pagi ini terpaksa ditangguhkan berikutan kekecohan yang ditimbulkan beberapa wakil pembangkang diketuai Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah).

Walau bagaimanapun, pembentangan usul itu kemudian bersambung kira-kira 12.30 tengah hari ini dan Kit Siang digantung daripada Parlimen selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta selepas mengingkari arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.. – UTUSAN ONLINE




Sebaran :


Leave a Reply