Krisis air antara kegagalan besar Azmin

Share

Krisis bekalan air terawat yang menjejaskan kira-kira 2.5 juta rakyat di kawasan Lembah Klang baru-baru ini dianggap antara kegagalan terbesar dalam tempoh 10 tahun pentadbiran PKR Selangor.

Penyelaras Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sela­ngor, Datuk Mat Nad­zari Ahmad Dahlan berkata, krisis itu menyebabkan rakyat terlepas peluang pekerjaan apabila 761 projek pembangunan terpaksa di­tangguhkan kerana masalah be­kalan air.

“Krisis ini amat berkait rapat dengan kedudukan margin simpanan air terawat di loji rawatan air di Selangor ketika ini yang merudum pada tahap kosong peratus.

“Malah kegagalan kerajaan ne­geri menyelesaikan proses pengambilalihan Splash (Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd.) kerana didakwa membuat tawaran harga berlebihan daripada kos sebenar terus menghantui rakyat Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mat Nadzari yang juga Timbalan Pengerusi BN negeri turut menggariskan sembilan lagi kegagalan dalam mentadbir Selangor iaitu membabitkan soal pendidikan, kedudukan agama Islam, perumahan rumah rakyat, amalan tadbir urus yang baik, pengurusan anak-anak syarikat, kos sara hidup, pembangunan belia, kesihatan dan sosial rakyat.

Dalam isu pendidikan sebagai contoh, beliau memaklumkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal melaksanakan janji pendidikan percuma kepada rakyat, sama ada melibatkan Sekolah Agama Rakyat ataupun institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri seperti Universiti Selangor (Unisel).

Katanya, sedangkan janji pendidikan percuma itu terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan janji sama sekali lagi diulangi dalam manifesto Pakatan Harapan untuk PRU-14 yang dilancarkan pada 8 Mac lalu.

“Sebaliknya, institut pengajian tinggi milik kerajaan negeri difahamkan berhadapan dengan masalah kewangan, menanggung beban hutang selain gagal menarik jumlah kemasukan pelajar yang ramai.

“Begitu juga dengan nasib serta kebajikan guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) yang masih gagal dibela sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin juga gagal menunjukkan contoh pelaksanaan tadbir urus yang baik apabila sehingga kini masih takut untuk melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebaliknya, pentadbiran kerajaan negeri kini terpalit dengan pelbagai skandal termasuk isu tanah di Kampung Sungai Yu, penjualan 880 hektar tanah di mukim Ijok dan pengendalian dana di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang semuanya kini dalam siasatan SPRM.

“Kegagalan sama turut berlaku dalam soal penyediaan perumahan mampu milik kepada rak­yat. Bagaimana kerajaan negeri khususnya Menteri Besar boleh mendabik dada kononnya berjaya menyelesaikan masalah itu sedangkan sembilan projek di bawah Skim Perumahan Sela­ngorKu sebelum ini terpaksa dibatalkan?

“Selain itu, kerajaan negeri juga gagal memastikan penyelenggaraan kemudahan perumahan rakyat sehinggakan KPKT (Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) tampil menyelesaikan sebahagian besar masalah penduduk yang terlibat di Selangor,” katanya.

Utusan

Leave a Reply