ASB-Z, AS1M-Z bantu warga, veteran ATM

Share


Kementerian Pertahanan memperuntukkan 1.53 bilion unit saham bernilai RM1 seunit menerusi skim pelaburan khas, Amanah Saham Zulu khusus kepada anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai inisiatif untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan itu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, skim pelaburan berkenaan melibatkan dua kategori iaitu Amanah Saham Bumiputera Zulu (ASB-Z) khusus kepada anggota dan veteran ATM berstatus bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia Zulu (AS1M-Z) kepada bukan bumiputera.

Ujar beliau, peruntukan itu disediakan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB).

“Melalui ASB-Z ini, PNB memperuntukkan 1.5 bilion unit saham iaitu satu bilion unit untuk anggota ATM dan 500 juta unit kepada veterannya. Bagi AS1M-Z pula, sebanyak 30 juta unit saham diperuntukkan.

“Kedua-dua skim pelaburan ini diwujudkan bertujuan memupuk budaya melabur dalam kalangan anggota dan veteran ATM selain meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Warga 4 Divisyen di Kem Wardieburn di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zakaria Yadi dan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah.

Mengulas lanjut, Hishammuddin memberitahu, skim berkenaan mempunyai pelbagai kelebihan berbanding skim biasa antaranya nilai pelaburan digandakan dan tempoh pelaburan yang fleksibel iaitu untuk tempoh lima tahun atau 10 tahun.

Tambah beliau, ASB-Z dan AS1M-Z hanyalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan anggota dan veteran ATM terus terpelihara. – UTUSAN ONLINE



2 thoughts on “ASB-Z, AS1M-Z bantu warga, veteran ATM

  • March 29, 2018 at 12:22 am
    Permalink

    Bila nak boleh daftar Amanah Saham ni

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *