Nostalgia penyokong Pakatan penuh kepalsuan

Share

Lazimnya, para penyokong Pakatan Harapan yang diketuai DAP, khususnya penyokong calon Perdana Menteri sementaranya, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menggunakan tanda pagar #RinduZamanTun untuk menggambarkan keindahan zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri tersebut yang kononnya tidak lagi dapat dikecapi kini.

Namun, sering kali fakta yang dibentangkan bersifat berat sebelah di mana hanya kebaikan ditampilkan, manakala keburukannya digelapkan.

Sebagai contoh, mereka menutup sebelah mata terhadap fakta yang dikemukakan oleh penulis buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, Barry Wain tentang kehilangan sekurang-kurangnya AS$100 bilion (RM391.7 bilion) sepanjang pemerintahan Dr. Mahathir.

Mengulas perkara tersebut, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, jika melihat kepada komitmen menangani rasuah dan penyelewengan, kerajaan sekarang lebih komited berbanding ketika era pemerintahan Dr. Mahathir.

“Pesalah rasuah kini dikenakan tindakan yang lebih keras dan usaha mendidik masyarakat untuk membanteras rasuah lebih giat dijalankan.

“Yang pernah hidup pada zaman pemerintahan Dr. Mahathir pasti tahu kerajaan mana yang lebih baik dalam membanteras rasuah. Ini realitinya, bukan kenyataan yang berat sebelah,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menyampaikan pesan kepada generasi muda masa kini supaya memanfaatkan kecanggihan teknologi untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat tentang sesuatu perkara, terutamanya berkaitan sejarah negara ini.

“Saya yakin jika generasi muda cukup rajin untuk meneliti fakta dan sejarah, mereka boleh buat kesimpulan yang lebih bijak tentang masa depan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply