Alahai Azmin, jadilah anak jantan

Share

Mengikut perancangan, sesi penerangan itu dijadualkan berlangsung pukul 1.30 petang di Bilik Gerakan, Tingkat 22, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), tetapi hanya terhad kepada media propembangkang atau yang Menteri Besar selesa sahaja.

Entah jembalang apa yang ada pada media seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times Press (NSTP), Kosmo!, Harian Metro mahupun Bernama sendiri sehingga amat menakutkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali apabila kesemua media-media terbabit tidak dijemput.

Jika Mohamed Azmin bimbang kononnya kenyataan beliau akan diputar belit, apa yang hendak ditakutkan? Bukankah tindakan menyaman pihak media sudah menjadi ‘makanan ruji’ pembangkang selama ini? Tambahan pula tidak sedikit peguam-peguam hebat bersama dalam pakatan.

Sebenarnya tindak-tanduk Mohamed Azmin amat mudah dibaca. Beliau tidak ada keberanian untuk berdepan dengan media yang tak sealiran dengannya kerana kalau boleh, Timbalan Presiden PKR itu mahu segala skandal RM1.18 bilion di Ijok tidak sampai ke pengetahuan rakyat.

Ini kerana Mohamed Azmin sedar, lebih banyak ‘kecurangan’ kerajaan negeri dalam skandal itu didedahkan, lebih pendeklah hayat politik Pakatan Harapan di Selangor. Jika itu menjadi kenyataan, cita-cita politik peribadinya yang menggunung tinggi juga akan terbantut.

Ternyata beliau hanya seorang pemimpin yang hebat mengata orang, tetapi apabila kain sendiri terlondeh, Menteri Besar itu memilih untuk berselindung di balik bayang-bayang pegawainya dan menafikan hak rakyat untuk mendapat informasi dari perspektif berbeza.

Kepada Mohamed Azmin, jadilah anak jantan. Berdepan dengan media dan juga rakyat kerana kalau diberi peluang, hanya soalan mudah sahaja ingin dilontarkan, iaitu kenapa ratusan juta dibayar kepada pihak ketiga dan kenapa perlunya pihak ketiga terbabit.-UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!