Tak tahu, tak ingat, you dari mana warnai politik Malaysia

Share


Secara amnya, dua orang musuh yang kini menjadi sekutu politik, Lim Kit Siang dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebenarnya mempunyai satu persamaan yang ketara.

Jika diperhalusi, Dr. Mahathir yang pernah menuduh DAP parti rasis serta bekas musuhnya, Kit Siang mempunyai skil komunikasi yang sememangnya wajar dikagumi ahli-ahli politik lain kerana kedua-duanya menguasai seni melarikan diri daripada menjawab soalan yang maha hebat.

Yang seorang terkenal dengan ayat – tidak tahu atau tidak ingat (Dr. Mahathir) manakala seorang lagi – you dari mana? (Kit Siang).

Terdapat dua peristiwa besar di dalam negara yang cuba ‘dimatikan’ susur galur hubung kaitnya dengan Dr. Mahathir menerusi ayat tidak tahu dan tidak ingat.

Pertamanya, skandal Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengalami kerugian sebanyak AS$10 bi­lion (RM44 bilion) melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993.

Menerusi ayat tidak tahu, Dr. Mahathir memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (forex) pada 1990-an bahawa BNM menjalankan perdagangan itu tanpa pengetahuannya pada akhir 1980-an.

Bagaimanapun, laporan RCI yang diedarkan di Parlimen pada 30 November tahun lalu akhirnya mendapati ada asas bagi mengesyorkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kemungkinan berlakunya pecah amanah dan penipuan oleh Dr. Mahathir dalam skandal berkenaan.

Selain itu, Dr. Mahathir juga menggunakan ayat tidak ingat apabila menjelaskan mengenai tragedi Memali, Baling Kedah pada 19 November 1985 seolah-olah cuci tangan daripada memikul tanggungjawab.

“Saya tidak ingat yang Tun Musa datang berjumpa saya untuk saya tidak pergi ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke China.

“Di waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya tidak pergi luar negeri,” katanya dalam artikel bertajuk keselamatan negara yang disiarkan menerusi blog Chedet pada 10 April 2014.

Itu kisah kehebatan Dr. Mahathir namun rakan sekutunya Kit Siang pula ‘bijak’ menangkis soalan-soalan berkaitan hubungannya dengan Dr. Mahathir atau mengenai partinya.

Sebagai contoh, jika soalan-soalan yang ditanya dianggap ‘merbahaya’ untuk DAP atau boleh menimbulkan keraguan rakyat mengenai hubungan mesranya dengan Dr. Mahathir pada masa ini, maka ayat you dari mana dijadikan senjata Kit Siang untuk mengelak daripada menjawab.

Lihat sahaja di Pulau Pinang, mungkin berkat hasil didikan Kit Siang kepada anaknya, Lim Guan Eng juga membuatkan kebebasan media di negeri itu bagaikan telah mati.

Wartawan Utusan Malaysia bukan saja tidak dijemput meliputi sebarang majlis yang melibatkan Ketua Menteri tetapi juga dilarang membuat liputan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mana-mana media cetak arus perdana dan media elektronik yang tidak sehaluan tidak dijemput untuk membuat liputan majlis-majlis anjuran kerajaan DAP Pulau Pinang.

Sampai bila pendekatan menghalang kebebasan media ini perlu terus dibiarkan, prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara tidak hanya sekadar pemanis mulut tetapi perlu diterjemah melalui perbuatan.-UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *