Dr. Mahathir perlu cium tangan sendiri

Sebaran :

Ada satu peribahasa Melayu yang mesejnya tegas dan sinis, iaitu cium tapak tangan, berbaukah atau tidak? Peribahasa ini bermaksud sebelum kita mencela orang lain, ada baiknya cermin diri sendiri sama ada turut sama bermasalah ataupun tidak.

Dalam konteks politik negara sekarang, peribahasa ini sesuai ditujukan kepada calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Hal ini kerana ketika beliau gigih berceramah memburukan kepemimpinan negara sedia ada, beliau seolah-olah lupa pelbagai skandal kewangan sepanjang 22 tahun pemerintahannya sebagai Perdana Menteri.

Menurut bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar, Dr. Mahathir sewajarnya bertanggungjawab atas setiap skandal yang berlaku semasa pemerintahannya, terutamanya skandal Maminco, Perwaja Steel dan BMF yang ternyata merugikan negara dan rakyat, sebelum hendak memburuk-burukkan pihak lain.

“Bukan sedikit skandal yang berlaku semasa zaman pemerintahan beliau, malah ada yang menyebabkan kerugian besar kepada negara.

“Berbanding dengan pemimpin sekarang, jelas ada tindakan yang dilakukan untuk mengawal kerugian, tetapi ketika zaman beliau, apa yang telah beliau lakukan?” soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Antara skandal yang berlaku pada zaman Dr. Mahathir adalah skandal Maminco yang berlaku pada era 1980-an yang turut mendapat perhatian Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam persidangan Dewan Rakyat ketika itu.

Kit Siang pada ketika itu menyifatkan urusan pembelian bijih timah oleh syarikat tersebut sebagai ‘misteri’ dan mendesak Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri pada ketika itu memberikan penjelasan berkenaan skandal tersebut kepada Parlimen. – UTUSAN ONLINE


Sebaran :

Leave a Reply