Dr. Mahathir: Dulu kata Malaysian Malaysia Dap nafi hak Melayu, sekarang diam

Sebaran :

BAGI generasi muda yang masih asing siapa Tun Dr. Mahathir Mohamad, banyak video lama ucapan bakal Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan diketuai DAP itu dapat ditonton di YouTube.

Dan pastinya wajib diketahui adalah pendirian Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terhadap perjuangan Malaysian Malaysia DAP yang masih menjadi impian agung Lim Kit Siang.

Antara video yang ada, rakaman lima tahun lalu di mana Dr. Mahathir secara tegas menyatakan Malaysian Malaysia adalah konsep pinjaman daripada PAP, parti pemerintah Singapura.

Agenda DAP itu, kata Dr. Mahathir menggambarkan yang orang Melayu telah membolot semua kekayaan manakala kaum lain tidak mendapat apa-apa pun di negara ini.



Dalam ucapan tersebut di (https://www.youtube.com/watch?v=MYr8dFQ4u6c), Dr. Mahathir lantang mengkritik Malaysian Malaysia sambil menerangkan semua kaum di negara ini mendapat bahagian masing-masing menerusi prinsip keadilan sosial pegangan Barisan Nasional (BN).

Malah katanya, orang Melayu juga tidak minta semua kekayaan sebaliknya hanya 30 peratus sahaja walaupun menjadi kaum majoriti di negara ini.

Dr. Mahathir dalam program di Shah Alam bertarikh 6 April 2013 itu turut menyatakan hasil nikmat kestabilan negara telah menyaksikan semua kaum menerima pelbagai pencapaian, malah ramai individu yang bergelar bilionair dapat dilahirkan.

Dalam ucapan itu juga, beliau membandingkan senario di negara asal PAP di mana tiada sekolah Cina manakala Nanyang University juga telah diserap ke dalam National University Singapore dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kerana negara tersebut tidak menggalakkan penggunaan bahasa Cina.



Ayat Dr. Mahathir ketika itu, “Kalau di Singapura, tak bau mereka hendak menikmati kemudahan dan keistimewaan ini”,

Selepas itu, seakan menyimpulkan hujahnya, Dr. Mahathir tanpa berlapik menyatakan DAP merupakan parti rasis, perkauman dan menafikan hak orang Melayu, manakala hanya BN yang memberikan pertimbangan waras kepada semua kaum.

Namun siapa sangka, Dr. Mahathir dan Kit Siang dari seturu menjadi sekutu.

Tetapi, apabila Lim Kit Siang dengan tegas menyatakan agenda Malaysian Malaysia masih impiannya di Dewan Rakyat baru-baru ini, di mana Dr. Mahathir?



Kenapa bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu diam seribu bahasa? Mana panglima-panglima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)? Mereka tidak bersuara sepatah pun mengenai impian Kit Siang melaksanakan agenda tersebut.

Persoalannya kenapa Dr. Mahathir bukan seperti beliau yang dulu. Pastinya Dr. Mahathir yang masih dikurniakan nikmat kesihatan walaupun telah berusia 93 tahun bukan tergolong dalam kategori Melayu Mudah Lupa, iaitu sajak terkenal nukilannya sendiri.

Sedangkan sebagai individu yang diangkat sebagai negarawan oleh pengkagum tegarnya, Dr. Mahathir perlu mencerminkan karakter seorang ‘true statesman’ antaranya berpegang teguh pada prinsip walau dalam keadaan apa sekali pun.

Jika tidak, bukanlah negarawan namanya, samalah saja dengan Kit Siang yang nak jawab soalan Dr. Mahathir guna logo DAP di lobi Parlimen semalam pun bertaici dulu. – UTUSAN ONLINE


Sebaran :

Leave a Reply