Sudah terlambat untuk Tun M mengubah sejarah – Salleh

Share
Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sekarang sudah terlambat untuk Tun Dr Mahathir Mohamad mengubah sejarah mengenai apa yang telah didedahkan di mahkamah 20 tahun yang lalu.

Salleh menyifatkan pengakuan terbaharu bekas perdana menteri itu sebagai yang paling membingungkan dan menimbulkan percanggahan sambil berkata Dr Mahathir silap besar jika beliau fikir beliau boleh mengubah sejarah kerana segala yang berlaku sejak tahun 1997 telah didokumentasi dengan baik disebabkan adanya Internet.

Beliau berkata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu mempunyai masa 20 tahun untuk membetulkan rekod sekiranya apa yangdilaporkan itu adalah salah.

“Pertama sekali, apabila didedahkan bahawa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim mengalami insiden ‘mata lebam’, Mahathir berkata kemungkinan besar Anwar menumbuk mukanya sendiri.

“Apabila akhirnya didedahkan bahawa bekas Ketua Polis Negara telah menumbuk Anwar, Mahathir tidak meminta maaf atau menarik balik dakwaannya bahawa Anwar menumbuk mukanya sendiri,” kata beliau menerusi catatan dalam blog beliau, https://sskeruak.blogspot.my, malam ini.

Salleh berkata bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar kemudian mendedahkan bahawa Mahathir telah menghantar beliau untuk bertemu Anwar untuk menasihatkan beliaur bahawa polis menyedari tentang salah laku seksualnya dan aktiviti lain dan bahawa beliau haruslah menghentikannya sebelum ia diketahui umum.

“Anwar tidak pernah menafikan pertemuan ini tetapi berkata pertemuan tersebut adalah mengenai jawatan pengerusi Genting untuk Hanif dan bukan mengenai aktiviti seks.

“Ini bermakna Mahathir tahu mengenai kegiatan Anwar lama sebelum Ogos 1998 dan beliau menghantar Hanif untuk bertemu Anwar untuk membincangkan perkara itu,” kata beliau.

Dalam pada itu, Salleh juga melancarkan serangan hebat ke atas Pakatan Harapan kerana mereka menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai yang paling kotor dalam sejarah.

Salleh berkata ini semacam menunjukkan Pakatan Harapan tahu mereka akan kalah dan sebab itulah mereka memberi alasan itu untuk menjelaskan kekalahan mereka.

“Mereka melakukannya ini pada PRU13 dan kemudian terbukti bahawa semua dakwaan mengenai kehadiran pengundi warga Bangladesh dan gangguan bekalan elektrik adalah palsu,” kata beliau.

— BERNAMA

Salleh Said Keruak catat majoriti terbesar di kalangan calon BN yang menang.

Leave a Reply