Cikgu Khassim, Pembangunan Pendidikan Sarawak Dan ‘Warga Emas’…

Share


Bagi mereka yang tidak mengenalinya, maka beliau mungkin hanya insan biasa di mata umum. Namun begitu, bagi mereka yang pernah bersama dan mengenali hati budinya, nama Cikgu Khassim Yusuff memang besar di mata mereka.

Anak kelahiran Bedong, Kedah, ini mungkin tidak terlintas di hatinya untuk meninggalkan negeri kelahirannya di utara Semenanjung. Namun selepas tamat menjalani pengajian di salah sebuah institusi perguruan, beliau ‘terbang’ ke Sarawak dengan membawa azam yang kuat mendidik anak bangsa.

Pada 1979, beliau menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang, sebuah negeri yang agak asing baginya. Bertugas sebagai seorang guru, beliau bertekad untuk memberikan yang terbaik untuk mendidik anak-anak Sarawak agar menjadi insan berguna di masa hadapan.

Sepanjang beliau terlibat dalam profesyen perguruan, sudah berpuluh ribu pelajar yang beliau didik. Ramai yang berjaya mengubah nasib diri dan keluarga, malah ada yang berjawatan besar kini.

Bagi salah seorang anak muridnya, Cikgu Khassim pernah mengajarnya sewaktu di zaman persekolahan, menjadi guru besarnya ketika dia menjadi seorang guru, rakan sejawatnya di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Beliau juga pernah bertugas lama di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Menariknya, walaupun berasal dari sebuah kampung di Kedah, Cikgu Khassim tidak pernah meninggalkan Bumi Kenyalang. Hampir 40 tahun beliau menabur bakti di Sarawak, tidak terlintas di hatinya untuk ‘berduka lara’.

Malah beliau begitu mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di negeri orang, berkahwin dengan wanita tempatan dan membesarkan tiga anaknya sehingga berjaya. dalam pendidikan dan kini memiliki kerjaya yang membanggakan di dalam dan luar negara.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan untuk bertemu dengan beliau di Miri. Tidak lokek dengan senyuman, beliau memberitahu bahawa esok merupakan hari terakhirnya sebagai kakitangan awam, detik bersejarah sepanjang kariernya dalam profesyen pendidikan.

Persaraan Cikgu Khassim turut mendapat perhatian daripada Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid, yang mengucapkan selamat bersara kepadanya menerusi media sosial. Hanya mereka yang berjiwa pendidik saja yang memahami dan menghargai jasa baik golongan pendidik, bukan?

Dalam tempoh hampir 40 tahun dalam mendidik anak bangsa di Sarawak, Cikgu Khassim sempat berkongsi cerita dengan penulis mengenai kisah menarik anak-anak pedalaman Sarawak yang diberi kesempatan melawat bandar-bandar besar seperti Kuching dan Miri.

Apa yang terkesan di hatinya ialah apabila anak-anak yang berasal dari kawasan yang jauh di pedalaman itu tiba-tiba riuh di dalam bas rombongan apabila menaiki ‘flyover’. ‘Tidak ada air di bawah! Tidak ada air di bawah!’, itulah kata-kata yang terbit dari mulut murid-muridnya.

Hatinya cukup terkesan ketika itu mengenangkan betapa anak-anak pedalaman Sarawak itu begitu tersisih daripada arus pembangunan. Mungkin bagi sesetengah pihak melihat insiden itu sebagai melucukan, namun tidak bagi seorang yang berjiwa pendidik seperti Cikgu Khassim.

Beliau jelaskan sebaik mungkin kepada anak-anak pedalaman itu bahawa ianya bukanlah jambatan sebagaimana yang terdapat di kampung mereka untuk menyeberangi sungai, namun berfungsi sebagai jalan raya bertingkat.

Begitulah antara kenangan mengusik jiwa yang diceritakan Cikgu Khassim kepada penulis. Cerita tersebut sebenarnya telah membuat penulis terkedu. Terlintas di fikiran penulis betapa luasnya jurang perbezaan pembangunan antara Semenanjung dan Sarawak.

Semenanjung Malaysia berubah landskap di era 1980’an dan 1990’an. Pada era 80’an, pelbagai projek pembangunan dilaksanakan terutama kemudahan asas seperti akses jalan raya, projek bekalan air bersih, elektrik dan sebagainya.

Dengan penyediaan infrastruktur dan prasarana asas itu, maka telah membolehkan Semenanjung bertambah rancak dibangunkan dengan pelbagai pembangunan lain, termasuk pembangunan di dalam bidang pendidikan.

Malangnya entah kenapa, peruntukan pembangunan infrastruktur asas itu lebih banyak bertumpu di Semenanjung sahaja berbanding Sabah dan Sarawak. Jika dapat peruntukan sekalipun, hanya memadai untuk pembangunan di kawasan bandar-bandar besar sahaja.

Tiada akses jalan raya yang sempurna untuk menghubungkan bandar-bandar besar dengan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Alasan yang diberi adalah keadaan demografi yang memerlukan dana yang besar. Kononnya Kerajaan Pusat ketika itu tidak mampu?

Atas alasan ‘ketidakmampuan’ itu tiba-tiba negara mampu untuk berniaga mata wang asing hingga rugi lebih daripada RM30 bilion? ‘Warga emas’ itu masih lagi mampu sempat ‘bail out’ syarikat anaknya? Mampu pula terlibat dengan pelbagai skandal kewangan ‘mega’?

Kenapa tidak digunakan wang negara untuk bina jalan raya di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah? Selama ‘warga emas’ itu berkuasa, rakyat di dua negeri itu adalah ‘deposit tetap’ untuk dia terus menjadi ‘diktator kuku besi’ di Putrajaya.

Apa salah orang Kapit, Song, Baram, Nanga Merit, Belaga, Long Selatong, Bario dan banyak lagi kawasan di pedalaman Sarawak? Mengapa mereka tidak mendapat hak mereka sebagaimana orang Kubang Pasu atau Langkawi? Apa dosa mereka hingga hak mereka dinafikan selama ‘warga emas’ itu sibuk membangunkan Semenanjung?

Ketika di zaman ‘warga emas’ itu berkuasa, kos membina jalan raya rendah berbanding sekarang yang meningkat berganda-ganda. Kenapa tidak dibina ketika itu? Kerana dia sibuk ‘bail out’ syarikat anak? Atau litar lumba Sepang itu lebih penting daripada orang Kapit?

Jangan disebut Ahli Parlimen Sarawak tidak mendesak dia untuk membangunkan Sarawak. Berkali-kali diminta, tapi dia beri pelbagai alasan mengelak. Bertegang urat hingga bergaduh beberapa kali, tapi dia tetap enggan bangunkan Sarawak dan Sabah?

Padanlah ramai orang Sarawak yang langsung tidak hormat pada ‘warga emas’ itu. Sebut saja namanya, menjuih bibir dengan muka kelat. Menyampah sungguh mereka pada ‘warga emas’ itu…

Namun begitu, landskap Sarawak dan Sabah akan bertukar wajah tidak lama lagi. Pan Borneo sedang giat dibina. Jalan raya yang menghubungkan Sibu dengan Kanowit, Song dan Kapit juga sedang dalam pembinaan.

Bila ada akses jalan raya yang lebih sempurna, mana pembangunan di Sarawak dan Sabah akan terpampang di depan mata. Simpang-simpang jalan menuju ke pedalaman Sarawak dan Sabah pasti akan menyusul kemudian, bukan? Siapa punya kerja? Namanya Najib Razak.

Sementara itu dengan usaha gigih Mahdzir, Perdana Menteri berikan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk pembangunan pendidikan di sekolah-sekolah dhaif di pedalaman Sarawak dan Sabah pada tahun ini. Tahun depan mungkin bertambah lagi!

Ini bukan soal Pilihan Raya Umum. Usaha ini bukan baru dibuat pada 2018, malah ia sudah bermula sejak 2015 lagi. Ertinya, hanya ‘macai’ yang tidak berakal saja akan menuduh segala usaha pembangunan ini sebagai ‘dedak’. Mereka yang adil dan rasional tidak akan mempunyai tanggapan yang buruk sebagaimana ‘macai’.

Justeru itu, renung-renungkan dan nilailah sendiri. Fakta dan kebenaran sudah penulis titipkan. Jangan mudah diperbodohkan ‘warga emas’ yang menafikan hak rakyat di Sabah dan Sarawak. Buka mata luas-luas, fikirlah dengan waras….



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *